Connect with us

Politik

Zahid Hamidi Dilapor Tak Sihat, Bicara Kes Rasuah Ditangguh ke Tahun Hadapan

Perbicaraan kes membabitkan Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang ditetapkan hari ini dan esok telah dilapangkan susulan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan tidak sihat.

Menerusi laporan FMT, ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu yang dijalankan dalam kamar, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan esok kerana tertuduh tidak sihat.

“Peguam meminta untuk menangguh perbicaraan sebab tertuduh dikatakan tidak sihat walaupun ada di pekarangan mahkamah atas sebab kesihatan, hakim membenarkan penangguhan. Hari ini dan esok dilapangkan,” katanya sambil menambah kes itu ditetapkan untuk disambung bicara pada 3 Feb 2022.

Prosiding hari ini turut disertai Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Ahmad Zaidi Zainal.

Setakat ini, lima saksi pendakwaan selesai memberi keterangan pada perbicaraan tersebut sementara bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim, 62, masih di peringkat pemeriksaan balas.

Mahkamah juga menetapkan 18 hari untuk sambung bicara kes tersebut, iaitu pada 3 Feb, 7 dan 8 Mac, 1 April, 10-13 Mei, 17-20 Mei, 30 dan 31 Mei serta 13-16 Jun.

Mahkamah juga menetapkan 25-29 Julai untuk hujahan lisan dan bertulis serta 24 Ogos untuk keputusan.

Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai awam, iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SGD1,150,000, RM3 juta, Euro15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.