Connect with us

Politik

Zahid Hamidi Dakwa 12 Menteri Niat Aibkan PM, Muhyiddin Nafikan Kenyataan Tersebut

Kebelakangan ini, isu politik semakin hangat dibincangkan di kaca media. Ketidakstabilan politik mampu menjatuhkan nama negara, dan hal ini membawa kepada isu ketidakpercayaan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri kita.

Iospital phone repair gombak

Menurut laporan Harian Metro, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mendakwa tindakan 12 menteri daripada parti Perikatan Nasional (PN) menjadi punca isu ketidakpercayaan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Zahid Hamidi yang juga merupakan Presiden UMNO itu menyatakan bahawa sepatutnya perkara tersebut boleh dibincangkan di Parlimen tanpa perlu terus ke Istana Negarab dan dihebahkan kepada orang awam.

“Hari ini Mahiaddin Yassin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menafikan tindak-tanduk kelompok mereka menyebabkan Perdana Menteri terpaksa membubarkan Parlimen.

“Sedangkan Perdana Menteri menegaskan tindakan 12 menteri bersikap tidak wajar mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri lantikan Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Malah mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan yang menyebabkan baginda menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.

“Ternyata tindakan ini adalah niat jahat musuh Barisan Nasional (BN) untuk mengaibkan Perdana Menteri dari BN,” kata beliau.

Zahid Hamidi turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri boleh sahaja memecat 12 menteri tersebut, akan tetapi ianya akan membawa kesan atau krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara.

“Ia juga akan membabitkan undi tidak percaya dan sebagainya. Maka, jalan terbaik untuk berdepan dengan kerenah ahli Kabinet tidak berdisiplin ini ialah Perdana Menteri pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen.

“Ini sesuai juga bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, yang sebelum ini ramai yang melompat parti, menjawab cabaran Muhyiddin untuk bubar Parlimen, dan memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara tidak terganggu pada masa akan datang,” terangnya.

Menerusi kenyataan beliau, di sebalik penafian Muhyiddin, partinya turut menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri selain mendedahkan perjanjian persefahaman beliau.

“Sedangkan Bersatu sudah ada jawatan Menteri Kanan, menteri-menteri dan jawatan GLC. Tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri terbabit tidak sensitif dengan situasi pemulihan ekonomi negara dan dasar jimat cermat negara.

“Sebaliknya Bersatu asyik memikirkan mengenai jawatan, pangkat dan kedudukan saja,” katanya berhubung dengan perkara tersebut.

Difahamkan, Muhyiddin pernah dikatakan mahu mengancam untuk menekan butang menarik sokongan terhadap kepimpinan Ismail Sabri.

“Kali kedua, apabila secara terbuka Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara menyatakan Perdana Menteri gagal menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

“Sedangkan beliau sendiri Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pemimpin Bersatu sendiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Malah Muhyiddin menyarankan agar Parlimen dibubarkan atas kegagalan itu. Kata beliau lagi perlu ada kerajaan baharu yang lebih cekap. Namun Muhyiddin cuba menafikan kenyataannya sendiri,” jelas beliau.

Tambah beliau, ketidakstabilan politik kita dapat dilihat apabila dalam tempoh tidak sampai lima tahun, sudah terdapat tiga Perdana Menteri bertukar ganti.

“Semoga tragedi politik ini tidak berulang kembali dan perlu diingati selama-lamanya oleh rakyat jelata, sedangkan rakyat sangat mahukan kerajaan yang stabil dan harmoni.

“Insya-Allah apabila BN mendapat mandat besar dan kembali menerajui kerajaan perkara ini tidak akan berlaku,” ulas lanjut beliau.

Dalam pada itu, semalam Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Ismail Sabri menyalahkan beliau dan 12 menteri PN sebagai punca PRU15 bakal diadakan sebagai tidak bertanggungjawab.

Muhyiddin selaku Pengerusi PN itu menjelaskan bahawa sebagai Perdana Menteri, dia sepatutnya perlu bertanggungjawab terhadap apa yang sudah dilakukan, bukannya menyalahkan sesiapa mengenai perkara itu.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.