Connect with us

Politik

Zahid Hamidi Bersama Penyokong Tiba Di Mahkamah, Dengar Keputusan 40 Pertuduhan Rasuah VLN

Kebelakangan ini, isu ahli politik dibawa ke muka pengadilan semakin hangat diperkatakan di negara kita. Hal ini ekoran berlakunya penyelewengan kuasa dan wang oleh pihak-pihak yang terlibat.

Memetik laporan Bernama, Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah tiba di Mahkamah Tinggi pada hari ini untuk mendengar keputusan mahkamah sama ada beliau perlu membela diri atau dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah mengenai Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Sekitar 8:50 pagi, Zahid Hamidi, 69, kelihatan berjalan bersama kira-kira 100 penyokong dengan berpakaian serba hitam dan putih di pintu masuk utama Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke lobi bangunan itu.

Beliau yang juga merupakan Presiden UMNO itu turut disertai oleh Timbalan Presidennya iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sebelumnya, bermula sekitar jam 8:15 pagi, barisan pendakwa raya dan pasukan pembelaan Ahmad Zahid telah tiba di lobi bangunan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa telah dijadualkan untuk menyampaikan keputusan kes Zahid Hamidi di akhir kes pendakwaan itu pada jam 9 pagi.

Difahamkan, jika keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap Ahmad Zahid, oleh itu beliau akan dipanggil semula untuk membela diri.

Akan tetapi jika sebaliknya, Zahid Hamidi itu akan dilepas dan dibebaskan.

Sekadar info, pendakwaan tersebut diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani.

Manakala bekas timbalan perdana menteri itu pula diwakili oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Dikatakan, terdahulu terdapat kira-kira 100 pengamal media dari dalam dan luar negara mula tiba seawal jam 7 pagi.

Mereka tiba awal bagi melakukan liputan kes tersebut dan penyokong Ahmad Zahid pula dilihat berkumpul di pintu pagar utama mahkamah sekitar jam 8 pagi dengan membawa kain rentang tertera ‘Solidariti 4 AZH’.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.