Politik
Wajib Mengundi Bagi Umat Islam, Ini Penjelasan Presiden PAS Abdul Hadi Awang

Setiap insan yang beragama Islam perlu mematuhi segala perintah dan meninggalkan larangan Yang Maha Esa.
Ekoran itu, dikatakan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa semua rakyat beragama Islam dinasihatkan supaya keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana ianya merupakan satu kewajipan.
Hal ini disebabkan itu merupakan salah satu tanggungjawab kita untuk menentukan pemimpin bagi negara kita.
Presiden PAS itu menyatakan bahawa mengundi merupakan tanggungjawab yang wajib berbanding dengan menunaikan umrah yang hukumnya cuma sunat.
Menurut beliau, hal ini berlaku dalam kalangan sesetengah orang (pengundi) yang tidak memahami pilihan raya untuk memilih pemimpin sebagai tanggungjawab yang wajib, lapor Astro Awani.
“Memilih pemimpin di atas dunia ini merupakan perkara yang akan disoal pada hari kiamat termasuk amalan serta tingkah laku kita dalam hubungan dengan masyarakat, keluarga dan sebagainya.
“Rakyat perlu melantik pemimpin untuk mewakili mereka seterusnya membentuk kerajaan yang baik untuk mentadbir negara. Tanggungjawab sebagai pengundi dengan memilih pemimpin yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT,” jelas Abdul Hadi.
Kenyataan beliau itu dikeluarkan sewaktu beliau berucap di majlis Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto PN Pahang di Jerantut pada malam tadi.
Penyandang Parlimen Marang ini juga turut menjelaskan rakyat diberikan peluang untuk menentukan kepimpinan negara berdasarkan pengundian melalui saluran pilihan raya bagi membolehkan kerajaan (pemimpin) menguruskan dasar (kerajaan) dan amalan boleh membawa kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dalam amalan demokrasi moden kini.
“Jangan sekali-kali memilih (mengundi) golongan yang salah dan sesat dalam PRU15 ini.
“Sekiranya pemimpin yang dipilih tidak mempunyai iman dan akhlak, maka ekonominya juga akan runtuh, politiknya pula zalim dan menipu, lantas tiada keamanan dan kesejahteraan lagi,” terangnya.
Selain itu, beliau turut mengimbas sejarah Islam di mana selepas Nabi Muhamad SAW wafat, proses memilih (mengundi) pemimpin dalam kalangan kabilah di Madinah dilakukan apabila Saidina Abu Bakar Assidiq dari kaum Muhajirin telah diangkat sebagai ketua (pemimpin).
“Hal ini berasaskan pesanan Nabi Muhamad SAW bahawa bani Quraish yang mendominasi dan terkuat pada masa itu, maka Abu Bakar layak dipilih sebagai pemimpin selepas Nabi.
“Bermula daripada Abu Bakar, pemilihan Umar, Oman dan Ali semuanya dicatat oleh ulama Islam sebagai panduan kepada umat Islam memilih pemimpin seterusnya,” ujarnya.
Tambah Abdul Hadi, intipati ucapan pertama Abu Bakar selepas dipilih wajar menjadi panduan bagi pemimpin hari ini.
Katanya, memilih pemimpin yang benar menunaikan amanah Allah SWT, yakni kerajaan yang beraqidah, beriman, dan berakhlak.
Sementara itu, beliau meminta pengundi termasuklah orang muda yang berdaftar (boleh mengundi) tidak seharusnya memandang ringan mengenai soal politik dan menjalankan tanggungjawab mereka dalam menentukan pemimpin negara melalui proses pilihan raya.
Beliau berdoa dan berasa amat yakin kemenangan berpihak kepada PN di Pahang pada PRU15 19 November ini.