Connect with us

Politik

“Hanya 5.6 juta setahun,” Usul Naik Gaji Ketua Menteri & ADUN Sabah Diluluskan

Seperti yang umum tahu, kadar inflasi di negara ini dijangka akan meningkat lebih tinggi. Oleh itu, hal ini menimbulkan kerisauan di dalam kalangan ramai.

Bukan sekadar inflasi, malah Malaysia turut berdepan dengan harga barangan yang meningkat dan juga kos sara hidup yang tinggi.

Bagaimanapun, isu tersebut bukanlah satu halangan buat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul untuk menaikkan saraan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

Menurut laporan Astro Awani pada 19 Julai, usul untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 itu dicadangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor diluluskan dengan suara terbanyak.

Saraan Ketua Menteri dinaikkan kepada RM33,033 dari RM23,595, Timbalan Ketua Menteri RM29,221.50 dari RM20,872.50, Menteri RM22,869 dari RMRM16,335, Speaker DUN RM22,869 dari RM16,335, Pembantu Menteri RM17,787 dari RM12,705, Timbalan Speaker DUN RM17,787 dari RM12,705, ADUN RM11,130 dari RM7,950 dan Setiausaha Politik RM7,623 dari RM5,445.

Bekas Menteri Kewangan Kedua Sabah berkata, impak kewangan kerajaan negeri untuk pelaksanaan kenaikan saraan itu tidak terlalu berat dengan hanya melibatkan RM5.6 juta setahun.

“Kita mengambil inisiatif ini memandangkan keadaan yang berlaku di persekitaran kita sekarang ini walaupun kita faham mungkin rakyat di luar sana bercakap kenapa dalam keadaan sekarang dan sebagainya. Tetapi asas utama ialah untuk wakil rakyat anggota kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kerajaan perlu ada dasar yang baik untuk memastikan taraf hidup rakyat yang ada sekarang ditingkatkan sekali gus membasmi kemiskinan ini paling penting,” katanya.

Dalam pada itu, DUN Sabah turut meluluskan usul Rang Undang-Undang Peruntukan Diraja (Pindaan) 2022 yang menaikkan Saraan Peribadi, Elaun Keraian dan Elaun Wilayah untuk Yang Dipertua Negeri Sabah.

Usul yang dibawa Hajiji itu juga diluluskan dengan suara terbanyak, dan menaikkan Saraan Peribadi daripada RM215,280 setahun kepada RM301,392; Elaun Keraian RM152,490 (RM213,486); dan Elaun Wilayah RM44,850 (RM62,790).

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.