Connect with us

Semasa

TMJ Dilantik Jadi Pemangku Raja – Sultan Johor

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru, Johor merupakan Tunku Mahkota Johor.

Baginda merupakan anakanda pertama dan putera sulung kepada Kerabat Diraja Johor (sebelah ayahanda) dan Kerabat Diraja Perak (sebelah bonda). Tunku Ismail pernah berkhidmat sebagai pegawai Tentera India dan kini Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Menurut laporan yang dibuat Bernama, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan melantik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Raja mulai hari ini (16 Jun 2022).

Baginda mengumumkan sedemikian ketika bertitah merasmikan mesyuarat kedua (pembukaan rasmi) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.

“Saya melantik Tunku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja, saya ingin berehat sekejap, terima kasih, mulai hari ini,” titahnya.

Pun begitu, baginda tidak menyatakan secara terperinci tempoh jawatan itu akan dipegang oleh Tunku Ismail. Kali terakhir Tunku Ismail dilaporkan memegang jawatan itu apabila baginda dilantik pada 10 Ogos 2019.

Manakala seminggu lalu, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan berundur dan menyerahkan urusan harian kelab itu kepada pengurusan tertingginya.

Menerusi hantaran di laman Facebook Johor Southern Tigers pada 9 Jun, Tunku Ismail berkata keputusan itu adalah disebabkan tanggungjawabnya yang lain.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.