Connect with us

Semasa

Timbalan MB Kelantan Kecewa Penonton Sukar Dikawal, Tegas Periksa Semula Syarat Kebenaran Konsert

Sejak wabak COVID-19 semakin pulih, pelbagai acara hiburan seperti konsert nyanyian diadakan bagi tontonan awam. Baru-baru ini juga sebuah konsert yang telah dijalankan di Kelantan mendapat perhatian ramai.

Memetik laporan Astro Awani, kerajaan negeri Kelantan tidak mampu mengawal penonton yang hadir di Konsert Riuh Sokmo yang tidak dapat mengawal perasaan dengan mengikut rentak lagu yang dimainkan.

Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan bahawa peristiwa yang berlaku itu sangat mengecewakan kerajaan negeri, apatah lagi di negeri Kelantan yang dikenali sebagai negeri serambi Mekah.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan Kelantan tidak berhasrat untuk mengharamkan konsert di negeri itu.

Akan tetapi, garis panduan yang lebih ketat akan dikenakan.

Difahamkan, antara peraturan yang sedia dikenakan ialah penonton lelaki dan perempuan diasingkan selain persembahan sopan dan tiada pergaulan bebas.

“Kalau benda ini diikuti memang sudah memenuhi kehendak kerajaan, cuma reaksi penonton itu suatu benda yang kena diberi perhatian. Dan saya rasa benda ini pihak penganjurlah yang perlu beri perhatian.

“Maknanya dalam sepanjang perjalanan program itu sepatutnya penganjur melalui jurucakap acara ataupun sesiapa sahaja boleh memberi peringatan kepada penonton supaya menjaga kelakuan,” terang beliau mengenai isu konsert berkenaan.

Mohd Amar yang juga merupakan Naib Presiden Pas mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas diminta mengulas beberapa video yang memaparkan penonton Konsert Riuh itu menari dan terhanguk-hanguk mengikut rentak muzik.

Dikatakan, video penonton yang berada di luar kawalan itu dipertontonkan kepada beliau sebelum beliau mengulas lanjut isu tersebut.

Dalam konsert berkenaan, antara artis yang telah membuat persembahan di Program Riuh Sokmo edisi keempat Kembara Riuh Keluarga Malaysia ke Kelantan ialah kumpulan Wings, Azumi The Penthemix, Faizal Tahir dan lain-lain artis.

Konsert ini telah berlangsung pada 16 hingga 18 September lalu yang bertemoat di stadium mini Majlis Daerah Ketereh.

Pada masa akan datang, Mohd Amar menerangkan bahawa pihak berkuasa tempatan juga perlu memastikan setiap konsep persembahan atau lagu-lagu dipilih dengan dengan lebih cermat.

“Kalau lagu salah, lagu rock sebagai contoh, memang dia penyanyi dan penonton dia akan jadi macam terkinja-kinja. Tapi kalau lagu itu lagu yang biasa mungkin tak jadi terkinja kinja,” ujar beliau.

Tambah beliau, tindakan penonton terkinja-kinja di konsert berkenaan dianggap sebagai satu kesilapan dan meminta supaya ianya diperbetulkan pada masa kelak.

Selaras dengan itu, beliau turut bertegas akan melihat semula syarat-syarat kebenaran mengadakan konsert dan persembahan di negeri Kelantan dan juga termasuk pemilihan lagu untuk mengelakkan kejadian yang sama berlaku lagi nanti.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.