Connect with us

Semasa

“Tidak membimbangkan” Negara Diserang Subvarian XBB, Khairy Jamaluddin Saran Ambil Booster & Pakai Pelitup Muka

Seperti yang kita sedia maklum, kini kita sudah memasuki peralihan ke fasa endemik di Malaysia. Bagaimanapun, langkah-langkah keselamatan masih harus diamalkan bagi mengelakkan penyakit ini semakin berleluasa.

Iospital phone repair gombak

Menerusi laporan Astro Awani, kadar kenaikan jangkitan COVID-19 ini dikatakan pada tahap sederhana, didorong oleh varian Omicron Subvarian XBB yang sebelumnya menjadi punca terhadap wabak terbaharu di Singapura.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa kadar peningkatan itu bagaimanapun tidak membimbangkan dan masih dalam keadaan terkawal.

“Subvarian XBB yang jadi punca gelombang di Singapura baru-baru ini dan mengambil masa kira-kira empat minggu untuk turun… barangkali, kita juga berdepan perkara yang sama.

“Kita kesan empat kes di bawah penjujukan genom oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Saya sudah minta lebih banyak kes penjujukan genom dilaksanakan.

“Bilangan penjujukan genom menurun kerana ia sebenarnya hanya dapat dibuat dengan berkesan melalui RT-PCR dan kita tahu tak ramai yang buat TR-PCR sekarang,” jelas beliau.

Oleh hal demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan selain pengambilan booster (suntikan penggalak) kedua, pemakaian pelitup muka sangat digalakkan untuk dipakai di kawasan tertutup dan sesak bagi mereka yang berisiko tinggi serta petugas barisan hadapan termasuk mereka yang terlibat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menurut beliau.

“Booster kedua kadarnya masih rendah, jadi kita harap rakyat Malaysia yang belum terima booster kedua boleh dapatkan. Tidak ada paksaan, hanya ia kemudahan yang kita sediakan.

“Setakat hari ini hanya 519,839 orang sahaja yang ambil booster kedua, KKM galakkan mereka yang berusia 50 tahun ke atas dan yang ada masalah kesihatan atau sistem imun lemah serta ibu mengandung dan petugas barisan hadapan untuk ambil booster,” terang Khairy berhubung dengan isu tersebut.

Sementara itu, Khairy turut menyeru agar pemimpin dan parti politik menunjukkan teladan yang baik dan langkah keselamatan yang sepatutnya haruslah diamalkan semasa berkempen.

“Tunjuklah teladan baik, kalau pergi ke kawasan tertutup, ada warga emas atau lawatan rumah ke rumah, jumpa pesakit terlantar, pakai pelitup muka.

“Kalau adakan ceramah di dewan dan dewan pula penuh, parti politik dan penganjur digalakkan buat pengumuman, minta orang ramai pakai pelitup muka.

“Kita tidak mahu PRU15 dijalankan dengan banyak sekatan tetapi kenalah ambil nasihat KKM,” ulas lanjut Khairy.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.