Connect with us

Semasa

Tidak Akan Ada PKP Lagi, Hanya Sempadan Negara Sahaja Ditutup – PM

Sudah tular di seluruh media sosial berkenaan ramalan rakyat tentang umat Islam di negara ini tidak dapat pulang ke kampung halaman pada hari raya akan datang susulan atas kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Isu tersebut secara tidak langsung menjadi bualan hangat sesama rakyat. Mereka turut menzahirkan rasa kecewa atas tindakan kerajaan yang tidak membenarkan merentas daerah serta negeri pada musim perayaan tahun lalu.

 

Hari ini kerajaan menegaskan pendirian untuk tidak melaksanakan sekatan pergerakan terhadap rakyat dan sektor ekonomi walaupun terjadi penularan Covid-19.

Menurut sumber yang dilaporkan Harian Metro, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fokus kerajaan ketika ini adalah terus berusaha mengurangkan bilangan kes pandemik dan pada masa sama menambah baik ekonomi.

“Dua hari lalu, kerajaan sudah mengumumkan kita tidak membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat pergerakan rakyat. Tiada istilah menyekat pergerakan dari daerah ke daerah dan negeri ke negeri lain.

“Cuma, (yang) kita masih menutup adalah sempadan negara. Kita terpaksa lakukan ini kerana kes di negara luar masih tinggi, disebabkan itu kita masih berhati-hati walaupun sudah memulakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan Singapura.

“Kita juga sedang membincangkan VTL dengan Indonesia dan sepatutnya ke Thailand, tetapi kes meningkat maka, kita menggantung pergerakan ke negara ini dulu,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.

Ismail berkata lagi, walaupun sesetengah negara sudah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelancong luar ke negara mereka, kerajaan masih mempertimbangkannya dan mungkin akan mengambil langkah sama.

“Kita lihat kalau dua dos sudah pun selesai, booster (dos penggalak) pun selesai, saya percaya kita boleh memberikan sedikit lagi kelonggaran dan ini terpulanglah kepada KKM (Kementerian Kesihatan) untuk memberikan pandangan.

“Kita lihat kesannya kalau kerajaan terlalu keras, kesannya kepada industri pelancongan dan selepas diberikan booster, mungkin kita boleh relax sikit daripada segi SOP, tetapi masih memerlukan pandangan KKM,” katanya.

Tambahnya, beliau mendengar pelbagai khabar angin yang tidak sahih disebarkan di media sosial mengaitkan umat Islam tidak boleh pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga.

“Saya memang sengaja sebut kita akan buka dan kita tidak akan tutup lagi dan kawal pergerakan sebab sudah ada dalam media sosial khabar angin mengatakan hari raya tidak boleh balik kampung.

“Disebabkan itu dua hari lalu saya umumkan tidak akan tutup dan rakyat boleh balik kampung untuk sambutan Aidilfitri,” katanya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.