Connect with us

Semasa

Tentera Terpaksa Pakai Helmet, Warga Asing Lempar Najis

KUALA LUMPUR – Warga asing yang terlibat menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi kediaman di sini, didakwa menunjukkan protes dengan melempar barangan dari tingkat atas bangunan bukan sekadar sampah, tetapi termasuk bungkusan plastik berisi air kencing. Sikap biadap terbabit ditunjukkan penghuni dipercayai warga asing di tiga lokasi kediaman yang telah diisytiharkan PKPD […]

Sebanyak tiga buah bangunan telah diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di ibu negara iaitu di Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah bermula 31 Mac lalu manakala bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion di Jalan Masjid India pula dikuatkuasakan sejak Selasa lalu.

Kebanyakan penduduk yang berada di bangunan tersebut adalah pekerja warga asing.

Mereka didakwa telah menunjukkan protes dengan melempar barangan dari tingkat atas bangunan bukan sekadar sampah, tetapi termasuk bungkusan plastik berisi air kencing.

Para petugas yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terpaksa berdepan situasi itu ketika melakukan kawalan selama 24 jam di kawasan berkenaan.

Malah, menurut sumber sikap biadab penghuni warga asing itu sebenarnya ketara sejak peringkat awal pelaksanaan PKPD dipercayai kerana mereka tidak berpuas hati terhadap perintah berkenaan dan kemungkinan kerana masalah mendapatkan bekalan makanan.

“Bukan saja-saja askar pakai helmet ketika berkawal di bangunan-bangunan kediaman itu. Jika kita lihat ketika kawalan sekatan jalan raya, askar tak pakai helmet pun, hanya pakai beret.

“Pakai helmet sebab nak elak daripada kena benda yang dibaling dari atas. Bawang putih pun dibaling dari dalam rumah. Jadi kita tak dapat kenal pasti dari unit mana,”

Namun begitu, sumber itu menambah, keadaan kini makin terkawal setelah penghuni akur dengan sikap tegas yang diamalkan oleh petugas keselamatan ketika berkawal.

Katanya, mereka juga tidak mempunyai alasan untuk melakukan protes kerana difahamkan bantuan makanan turut diaturkan kepada penghuni terlibat.

“Sebab itu kita kena hargai pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan ini. Mereka terpaksa berdepan situasi begini. Harap tidak ada lagi tambahan kawasan PKPD dan orang ramai terus patuh dengan perintah kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Kementerian Wilayah Persekutuan dilaporkan akan membekalkan makanan tengah hari dan makan malam sepanjang 14 hari PKPD kepada 1,850 penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India.

Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap barisan hadapan yang terpaksa menghadapi perangai kurang ajar dari sesetengah warga asing ini.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.