Connect with us

Politik

Tekanan Darah Najib Tinggi & Berbahaya, Rayu Diberi Pemerhatian Di HKL

Seperti yang kita sedia maklum, bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak telah dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan yang telah dilakukan oleh beliau. Namun begitu, isu kesihatan beliau yang semakin merosot menjadi tumpuan ramai.

Memetik laporan Astro Awani, baru-baru ini telah dilaporkan bahawa tekanan darah Najib berada pada tahap tinggi dan berbahaya.

Hal ini berlaku kerana pertukaran ubat yang telah diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya itu.

Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi menyatakan bahawa doktor telah menemukan beberapa ulser baharu di dalam perut Najib selepas menjalani ujian kolonoskopi pada Sabtu yang lalu.

Ekoran itu, Ahli Parlimen Pekan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang itu memohon untuk pemerhatian di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Walau bagaimanapun, permohonan itu ditolak oleh pegawai perubatan yang merawatnya.

“Semalam, doktor di HKL membuat biopsi yang menyebabkan pendarahan dan beberapa ulser terpaksa dipotong untuk menghentikan pendarahan.

“Beliau memohon untuk pemerhatian di HKL tetapi telah dinafikan. Doktor melepaskan (discaj) Najib, menukar ubat-ubatannya daripada ubat biasa yang dimakannya selama bertahun-tahun, dan menghantarnya pulang ke Kajang.

“Pagi ini, pemeriksaan oleh pembantu perubatan menunjukkan bahawa tekanan darah Najib adalah berbahaya akibat perubahan ubat yang diberikan.

“Ini menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya memberitahu hakim (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) pagi ini bahawa keadaan kesihatan Najib teruk dan perlu dihantar ke hospital,” terang Mukhlis.

Tambah Mukhlis, masalah kesihatan yang dialami oleh Najib itu masih berulang sejak lebih 15 tahun yang lalu.

Difahamkan, Mukhlis memaklumkan bahawa Najib pernah dimasukkan ke hospital pada tahun 2010 untuk beberapa hari kerana masalah kesihatan yang sama dan hal tersebut diketahui umum.

“Tahun lepas, beliau juga berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital swasta kira-kira seminggu, di mana beliau telah menjalani lima kali pemindahan darah bagi menggantikan darah yang hilang akibat pendarahan dalaman,” kata Mukhlis lagi ekoran masalah kesihatan yang dialami oleh Najib.

Susulan itu, Mukhlis berharap dengan dasar kemanusiaan bersama dengan keluarga Najib yang telah membuat rayuan kepada pihak penjara, hospital, dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membenarkan Najib diberikan rawatan serta pemerhatian perubatan yang selayaknya.

Dikatakan, Najib akan dirujuk ke Hospital Kajang pada jam 2 petang ini atas masalah kesihatan yang dialaminya.

Bekas Perdana Menteri itu akan dirujuk ke hospital berkenaan disebabkan pengambilan ubat darah tinggi baharu yang menyebabkan kesan teruk terhadap kesihatannya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.