Connect with us

Politik

Syed Saddiq Tegas Jho Low Perlu Dibawa Pulang, Isu 1MDB Mampu Dirungkaikan

Isu jenayah kolar putih semakin meningkat tidak kira di mana sahaja, mahupun di negara Malaysia. Jenayah kolar putih seperti penyelewengan kuasa dan wang ini haruslah dibanteras kerana ianya mampu meruntuhkan ekonomi dan sosial negara.

Memetik laporan Astro Awani, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan bahawa sudah tiba masanya ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low ditangkap bagi kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Difahamkan, kenyataan itu dikeluarkan oleh Syed Saddiq melalui rakaman video perbincangan beliau bersama penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’, Tom Wright mengenai skandal tersebut.

Rakaman tersebut telah disiarkan di platform Youtube dan telah dimuat naik di laman Facebooknya.

Menurut beliau, pelbagai kes penyelewengan yang melibatkan aset-aset negara mencecah bilion ringgit dapat dirungkaikan dengan menjejaki Jho Low dan membawanya pulang ke Malaysia.

Dikatakan, isu ini dianggap sangat serius kerana ianya turut membawa kepada pertambahan hutang negara.

Kerajaan Malaysia perlu menuntut penjelasan daripada pihak Republik China mengenai status Jho Low yang dikatakan sedang berada di negara terbabit.

“Adakah benar dia (Jho Low) sekarang tinggal di sana? Jika ya, bagaimana dia boleh berada di situ, bersuka ria bersama keluarga dan rakan tanpa ditangkap? Ini adalah satu persoalan dan kita boleh mendapatkan jawapan yang formal daripada mereka (China),” jelas Syed Saddiq berhubung dengan isu tersebut.

Berdasarkan laporan Sinar Harian, usaha memburu Jho Low masih giat dijalankan dengan kerjasama daripada pihak Interpol.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan bahawa siasatan itu juga dijalankan pihak berkuasa asing Singapura dan Amerika Syarikat.

Menurut Syed Saddiq, kesepakatan antara Malaysia dan China mampu dicapai dalam usaha memburu Jho Low jika benar dia berada di negara itu.

Hal ini disebabkan kedua-dua negara mempunyai hubungan diplomatik yang baik dan rakan strategik dalam dagangan.

“Kita mahu saling bekerjasama dan menjadi rakan, namun janganlah memberikan kerjasama itu kepada individu yang telah mengeksploitasi hasil negara ini,” jelas beliau.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.