Connect with us

Politik

Syed Saddiq Mungkin Bertanding PRN Johor

Ahli politik dilihat semakin giat ‘turun padang’ di negeri masing-masing bagi mempertahankan kerusi masing-masing dalam PRN yang akan menjelang tidak lama lagi termasuklah negeri Johor.

Pilihan raya negeri Johor 2022 merupakan pilihan raya negeri Johor ke-15, dijangka berlangsung pada 23 Mac 2022. Pilihan raya ini adalah untuk memilih 56 ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 Dewan Undangan Negeri Johor. Dewan Undangan Negeri sebelumnya telah dibubarkan pada 22 Januari 2022.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dikhabarkan mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan nanti.

Menurut sumber Bernama, Pengerusi Muda Johor iaitu Mohd Azrol Ab Rahani berkata, Ahli Parlimen Muar itu mempunyai kelebihan kerana berasal dari negeri itu.

“Sekiranya Muda bertanding, kita akan pastikan calon daripada parti ini merupakan anak tempatan,” katanya hari ini di Pejabat Urusan Parti Muda Johor di Kempas, di Johor Bahru.

Selain itu, beliau memaklumkan Muda Johor yang kini mencecah keahlian lebih 12,000 orang sedang rancak mempersiapkan jentera dan manifesto parti dalam menghadapi PRN itu selain bakal turut menggerakkan jentera di semua kawasan pilihan raya.

Terdahulu, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Syed Saddiq merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, membantai penyandang Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan calon Pas Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953 undi.

Mengulas lebih lanjut mengenai kerjasama dengan PH Johor bagi menghadapi PRN ini, Mohd Azrol berkata gabungan parti politik itu belum mengadakan sebarang perbincangan secara intensif dengan Muda Johor berkenaan perkara itu.

Katanya, kini semua gerak kerja Muda dilakukan secara bersendirian namun tiada masalah sekiranya perlu bertanding secara solo malah telah menyenaraikan senarai calon bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk diputuskan biro politik Muda.

“Jika bertanding solo, kita yakin boleh menang di beberapa kerusi DUN melibatkan kawasan Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar, namun seandainya kerjasama politik wujud melibatkan Muda kita menyasarkan lebih daripada 10 kerusi yang diyakini mempunyai kelebihan buat kami,” katanya.

Selepas parti itu mengambil sikap berkecuali pada PRN Melaka tahun lepas susulan tindakan PH mencalonkan kembali dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) yang dianggap penyebab PRN Melaka terpaksa diadakan, Johor merupakan medan pertama Muda bertanding dalam PRN.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.