Connect with us

Politik

Syed Saddiq Dihadap Ke Mahkamah, Diperintah Bela Diri Terhadap 4 Pertuduhan

Bukan satu dua kes, malah banyak kes yang timbul akhir-akhir ini yang melibatkan ahli-ahli politik sehingga dipanggil untuk menghadap di mahkamah.

Iospital phone repair gombak

Menurut laporan Utusan Malaysia, Mahkamah Tinggi sebentar tadi telah memerintahkan agar bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya membela diri terhadap pertuduhan pindaan bersubahat melakukan pecah amanah dana berjumlah RM 1 juta milik sebuah parti politik.

Keputusan itu telah dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid yang juga telah memerintahkan agar Syed Syaddiq, 29, membela diri terhadap pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta milik Armada Bumi Bersatu Enterprise yang bernilai RM 120,000.

Sementara itu, Syed Saddiq telah diarah untuk membela diri terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan wang bernilai RM 50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Dikatakan, Hakim Azhar membuat keputusan berkenaan selepas beliau berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan penyandang kerusi Parlimen Muar itu untuk membela diri bermula 22 Februari tahun hadapan.

Berdasarkan laporan tersebut, Syed Saddiq telah didakwa atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang pada waktu itu merupakan Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah dana bernilai RM 1 juta pada 6 Mac 2020 di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di Kuala Lumpur.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Manakala bagi pertuduhan seterusnya, pertuduhan pindaan penyalahgunaan harta RM 120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Difahamkan, perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, berdasarkan kesalahan yang telah dilakukan.

Selain itu, terdapat dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, dan kejadian itu didakwa telah dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Tertuduh difahamkan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi tadi, Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin hadir mengetuai pasukan pendakwaan manakala peguam Gobind Singh Deo mengetuai bahagian pembelaan.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.