Connect with us

Semasa

Suami Minta Foto Nikah Jadi ‘Wallpaper’ Telefon Sebelum Ditemui Lemas

“Arwah suami minta saya letakkan gambar kami bernikah sebagai ‘wallpaper’ telefon ketika menghantar saya ke tempat kerja Sabtu lalu, sebelum dia hilang pada petang itu,” kata Siti Haida Aliza, 26.

Siti Haida adalah isteri Allahyarham Muhamad Syafiq Saharuddin, 26, yang ditemui lemas di tali air berhampiran Desa Salak Pekerti, Kampung Labu Lanjut, semalam.

Katanya, suaminya menghantar dia ke tempat kerja di Nilai, Negeri Sembilan sebelah pagi kejadian dan selepas itu arwah ke Batang Kali, Selangor untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan.

“Saya tak sangka hasrat suami mahu menjadikan gambar pernikahan kami sebagai ‘wallpaper’ bertujuan mengabdikan kenangan kami berdua buat selama-lamanya,” katanya menambah kejadian itu sangat meruntun jiwanya kerana mereka berdua baru seminggu bernikah selepas lapan tahun menjalin persahabatan.

Selepas bernikah pada 12 Disember lalu, katanya, arwah mengambil cuti sehingga majlis persandingan kerana memaklumkan ingin menghabiskan masa dengan bersama sepanjang cuti di rumah sewa di Kampung Baru Lanjut.

“Petang sebelum kejadian, arwah ada menghubungi saya memaklumkan rumah sewa kami dinaiki air dan tidak menyangka air naik tinggi.

“Saya beritahu arwah supaya mengambil barangan dan pakaian persandingan dan tidak menyangka air naik tinggi,” katanya.

Menurutnya, berita kehilangan Allahyarham dimaklumkan oleh rakan, namun dia mengambil sikap positif bahawa suaminya selamat dan tidak dapat dihubungi sepanjang malam kerana masalah cuaca.

“Malam itu saya balik ke rumah ibu bapa di Nilai kerana esok (Ahad) akan mengadakan majlis kahwin di Senawang. Sepanjang malam, saya cuba menghubungi arwah, namun gagal dan sepanjang malam tidak dapat melelapkan mata memikirkan keselamatan dia.

“Pagi bersiap untuk ke tempat majlis perkahwinan, ahli keluarga memaklumkan arwah dijumpai lemas dan ketika itu hanya Allah saja yang tahu perasaan ketika ingin meraikan majlis bersejarah hidup kami,” katanya.

Siti Haida berkata, beliau reda dengan ketentuan Allah SWT walaupun baru seminggu melangsungkan perkahwinan.

Jenazah Muhamad Syafiq disembahyangkan di Masjid Kampung Lanjut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanjut selepas zohor.

Turut hadir, ibunya, Fatimah Taib, 53, dan bapa, Saharuddin Mat, 53.

Sementara itu, Saharuddin berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya pada petang Jumaat lalu, tetapi tidak sempat bersembang kerana mempunyai urusan lain.

Menurutnya, dua hari sebelum meninggal dunia, anaknya menghadiahkan al-Quran terjemahan dan dia gembira kerana sudah lama mahu memilikinya.

“Sebelum ini arwah kelihatan sangat gembira kerana cita-citanya untuk mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan tercapai. Saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.