Connect with us

Semasa

Suami Maut Akibat Kemalangan Jalan Raya, Tak Sempat Timang Cahaya Mata Ketiga

Tular di seluruh media sosial semalam mengenai kemalangan yang melibatkan beberapa penunggang motosikal. Apa yang lebih menyedihkan apabila beberapa mangsa maut di tempat kejadian.

Kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Georgetown telah meragut nyawa empat orang penunggang manakala tiga orang lagi cedera parah.

Menurut Kosmo, salah seorang mangsa terlibat iaitu Allahyarham Muhamad Eizreel Muhamad tidak sempat menimang cahaya mata ketiganya yang dijangka lahir pada minggu hadapan.

Isteri kepada arwah Eizreel, Norhanazielah Hanazi jelas dilihat masih terkejut dengan kejadian yang menimpa arwah suaminya pada pagi semalam.

Selain Norhanazielah yang menzahirkan rasa sedihnya atas pemergian arwah Eizreel, anak-anak mereka yang berusia lapan dan enam tahun menangis selepas menerima khabar bapa mereka telah meninggal dunia.

Kata Norhanazielah, arwah paling tidak sabar menatap wajah anak ketiga mereka yang bakal disambut tidak lama lagi. Malah segala kelengkapan sudah disediakan.

“Saya pula sedang menghitung hari untuk bersalin anak ketiga kami yang dijadualkan pada 27 Julai ini.

“Arwah yang paling tidak sabar menanti kehadiran cahaya mata ini dan segala kelengkapan sudah siap dibeli,” katanya.

Norhanazielah memberitahu arwah berusia 25 tahun itu sempat menghantar pesanan WhatsApp pada pukul 2 pagi untuk bertanyakan keadaannya dan anak-anak mereka.

Tambahnya lagi, arwah yang berkerja sebagai runner sentiasa ingin berada di sampingnya dan anak-anak di rumah sehingga sanggup tidak pergi ke kerja semata-mata mahu membawa mereka bersiar-siar dan makan.

Walaupun sarat hamil, Norhanazielah gigih pergi ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri keadaan suaminya selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan mereka.

Ibu kepada Allahyarham Muhamad Eizreel meminta orang ramai untuk memahami perasaan keluarga mangsa terlibat dan berhenti mengecam mereka.

Selain Muhamad Eizreel, dua lagi rakannya iaitu Muhamad Shazwan Hakim Mohd. Abdul Sani, 22, dan Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19 turut maut. Jenazah Muhamad Eizreel dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda di Sungai Ara.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.