Connect with us

Semasa

Seleweng Minyak Masak Paket Subsidi Buat Minyak Sembahyang

Kegiatan memproses minyak masak bersubsidi menjadi minyak sembahyang bukan isu yang asing lagi malah ianya telah dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak tahun lalu.

Terdapat beberapa premis yang menyalahgunakan lesen runcit menjual minyak masak bersubsidi dengan memproses barang kawalan itu untuk dijadikan minyak sembahyang atas sebab-sebab tertentu.

Sebuah premis di Bukit Pelandok di Port Dickson telah diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas sebab didapati melakukan penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Memetik sumber dari Astro Awani, operasi dilakukan oleh pasukan penguat kuasa KPDNHEP Seremban dan Port Dickson serta polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan pada Rabu jam 12.05 tengah hari.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata kepada media, 159 kotak mengandungi minyak masak paket satu kilogram dengan jumlah keseluruhan berat 2,703 kilogram telah ditemui ketika pemeriksaan.

“Minyak masak paket tersebut dipercayai dijadikan sebagai bahan asas di dalam proses penghasilan minyak sembahyang dengan dicampur bahan-bahan lain.

“Suspek dipercayai menggunakan minyak masak bersubsidi sebagai bahan asas untuk menghasilkan minyak masak sembahyang kerana harganya lebih murah berbanding dengan harga minyak masak industri demi untuk mengaut keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Khamis.

Sementara itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun yang bertanggungjawab terhadap premis turut ditahan untuk diambil keterangan ketika diserbu.

Katanya lagi, siasatan awal yang dijalankan mendakwa suspek telah menjalankan kegiatan itu di premis terbabit sejak setahun lalu.

“Kesemua barangan berkenaan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 6,757.50 telah disita.

“Barangan tersebut ialah barang kawalan yang merupakan barang berjadual dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Selain itu, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengumpul maklumat pihak-pihak yang terlibat di dalam rantaian yang membekalkan minyak masak paket satu kilogram kepada kegiatan terbabit.

Kata Ain Arjuna, KPDNHEP Negeri Sembilan mengambil serius terhadap isu penyelewengan minyak masak paket satu kilogram kerana ia seharusnya dijual dan dipasarkan untuk kegunaan isi rumah.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.