Politik
“Saya bukan ‘kesayangan’ Presiden” KJ Nafi Dakwaan Zahid Hamidi Pilih Bertanding Di Sungai Buloh

Masih berbaki lapan hari saahaja lagi sebelum Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) dimulakan. Ekoran itu, terdapat pelbagai pendapat dan hujahan yang dikeluarkan oleh calon-calon politik yang bakal bertanding kelak.
Calon Parlimen Sungai Buloh dari parti Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa beliau yang meminta untuk bertanding di kerusi itu pada PRU15.
Berdasarkan laporan Free Malaysia Today, Khairy menjelaskan bahawa beliau telah menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan parti mengenai di mana beliau bakal bertanding.
Walau bagaimanapun Khairy tidak mendengar apa-apa berita daripada mereka, dan akhirnya beliau memutuskan untuk mengambil inisiatif sendiri dan tiada pilihan lain.
“Saya ditinggal begitu saja. Saya tahu kena keluar dari kawasan Rembau jadi pada waktu itu saya tiada pilihan, saya ambil inisiatif sendiri.
“Jadi, saya mengambil inisiatif untuk (berjumpa) dengan Noh Omar (pengerusi BN Selangor) dan Vicky (Presiden MIC SA Vigneswaran).
“Tiada banyak kerusi (Parlimen), hanya dua tiga yang tinggal ketika itu. Jadi saya kata, tak apalah saya pilih Sungai Buloh. Bukannya dari awal saya pilih (untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh),” jelas Khairy.
Dalam pada itu, Khairy turut memaklumkan bahawa beliau bukan ahli parti kesayangan kepada Zahid Hamidi dengan mendakwa dirinya mungkin bukan menjadi pilihan calon Parlimen Bagan Datuk itu.
“Saya bukan orang kegemaran presiden kerana saya bukan ‘yes man’,” terang beliau.
Namun begitu, Khairy yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan bahawa beliau tetap setia dengan Barisan Nasional (BN).
Bagi beliau, beliau tidak mahu UMNO dikenali kerana “kluster mahkamah” lagi susulan gelaran yang diberikan kepada pemimpin UMNO termasuk Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Di mana mereka sedang dibicarakan atau telah disabitkan bagi tuduhan jenayah termasuk pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Sebelumnya, Zahid Hamidi telah mendedahkan bahawa Khairy yang meminta untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Terang Zahid, tiada siapa yang memaksa atau mendesak Menteri Kesihatan itu bertanding di kawasan Sungai Buloh itu.
“KJ yang minta diberikan peluang bertanding di sana dan saya tunaikan permintaannya,” ujar beliau.