Connect with us

Politik

RM46 Juta Milik Najib Hilang, Peguam Muhammad Shafee Dakwa Wang Dicuri

Sebelum ini pernah kita dengar mengenai kes-kes penyelewengan kuasa dan wang yang telah didakwa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Iospital phone repair gombak

Namun begitu, baru-baru ini bangkit semula isu ini ekoran wang yang dimiliki oleh Najib sebanyak RM46 juta hilang.

Peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa RM46 juta milik Najib yang disimpan di sebuah unit di Pavilion Residences telah dicuri.

Muhammad Shafee menyatakan bahawa kecurian harta milik Najib yang hilang itu dikesan selepas pihak polis hanya menemukan wang sebanyak RM114 juta.

Walhal jumlah keseluruhan sepatutnya ada ialah sebanyak RM160 juta seperti yang dimaklumkan oleh Najib.

Terang beliau, pihak berkuasa tidak mengira wang yang didakwa hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu sewaktu membuat serbuan pada 17 Mei 2018.

Oleh itu, timbul persoalan apabila harta tersebut tidak dikira di sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences, malah di lokasi lain.

“Najib memaklumkan ada RM160 juta, bukannya RM114 juta, maka ada seseorang yang mencuri wang tersebut.

“Polis juga tidak beritahu bagaimana wang ditemui itu dibungkus dan tidak menyerahkan senarai barang rampasan kepada penghuni premis,” jelas peguam itu selepas prosiding keputusan kes lucut hak harta di Mahkamah Tinggi dibuat pada Isnin lalu.

Muhammad Shafee memaklumkan bahawa serbuan yang telah dilakukan itu lebih kepada ‘smoking gun’ iaitu sekadar mengaitkan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai pesalah dalam kes penyelewengan 1MDB.

Sedangkan mahkamah telah memutuskan bahawa harta yang dirampas itu tidak diperoleh berasaskan dengan perlakuan kesalahan predikat (aktiviti haram) atau menggunakan dana penyelewengan 1MDB.

“Najib sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan wang itu dan kita minta pihak berkuasa untuk menyiasat anggota yang hadir dalam serbuan tersebut,” ujarnya.

Menerusi prosiding kes yang dibuat pada Isnin lalu, kerajaan Malaysia gagal untuk melucutkan hak 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita sewaktu serbuan dilakukan di Pavilion Residences pada empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan sedemikian selepas menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucutkan hak harta tersebut.

Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata juga turut disita dari premis sama.

Sebelumnya pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings Sdn Bhd bagi menyita pelbagai barang.

Difahamkan, antara barangan yang disita ialah 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata, 306 beg tangan, serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Najib dan Rosmah merupakan pihak ketiga yang ingin menuntut barang kemas serta jam tangan dalam permohonan pelucuthakan pendakwaan terhadap Obyu Holdings, yang dimiliki oleh seorang ahli perniagaan, Tan Sri Bustari Yusof.

Dikatakan, barangan sita yang dirampas dari premis milik Obyu Holdings di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018 itu dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB.

Manakala pada 26 September lalu pula, Mahkamah Tinggi diberitahu sebanyak 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta disita ketika serbuan di sebuah premis milik Obyu Holdings di Pavilion.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada penyandang kerusi Parlimen Pekan itu ada membuat permohonan kepada Jabatan Penjara untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“Saya tidak tahu mengenainya, tidak pasti jabatan itu membenarkan banduan untuk keluar mengundi,” ujar beliau lanjut.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.