Connect with us

Semasa

Ramai Kelindan Lori Tiada Lesen Memandu, Ini Kenyataan Pengarah JPJ

Keselamatan jalan raya perlu diutamakan dan diikuti bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Bagaimanapun, masih ramai pemandu tidak mematuhi peraturan jalan raya sehingga mampu merisikokan nyawa sendiri dan orang lain.

Berdasarkan laporan Kosmo, Ops Tutup yang diadakan di Seberang Perai Utara (SPU) mendapati ramai kelindan lori yang tidak mempunyai lesen memandu.

Difahamkan, tiada lesen memandu merupakan kesalahan tertinggi yang dicatatkan dalam operasi tersebut.

Ops yang dilakukan ini memberi fokus dalam pemeriksaan kenderaan perdagangan yang telah dijalankan di Plaza Tol Sungai Dua (arah Selatan) dan Plaza Tol Juru (arah Utara) selama dua hari yang bermula Selasa lalu.

Hal ini disokong oleh kenyataan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Adenan Mat Isa yang memaklumkan bahawa jumlah kesalahan tiada lesen memandu merupakan kesalahan tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 356 notis, lalu disertai dengan 198 notis kesalahan teknikal, dan 113 notis berkaitan perlesenan kenderaan.

“Kita dapati kebanyakan kelindan lori bukan sahaja tidak mempunyai lesen malah mereka berani menggantikan pemandu utama sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Antara alasan klise yang diberikan adalah terlupa, tak ada masa untuk buat lesen dan sebagainya,” ulas beliau mengenai isu berkenaan.

Menurut Adenan Mat Isa, dikatakan sebanyak 2,490 kenderaan telah diperiksa dan hanya 445 daripadanya dikenakan tindakan.

Manakala, 766 notis pula telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang telah dilakukan oleh pengguna jalan raya itu.

Dikatakan, Ops itu turut disertai oleh beberapa agensi lain antaranya JPJ Kedah, JPJ Perlis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Kita mahu pastikan kenderaan perdagangan yang berada di atas jalan raya layak dipandu dan benar-benar selamat bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Pemeriksaan brek, tayar, enjin, asap dan komponen lain amat dititikberatkan supaya kenderaan berat ini tidak akan rosak di tengah jalan yang dikhuatiri akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Justeru, penguatkuasaan dan advokasi secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin,” terang beliau.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.