Connect with us

Politik

Pulau Pinang Tarik Balik Darjah Kebesaran Najib Razak, Dikuatkuasakan Bermula Hari Ini

Kes penyelewengan kuasa dan wang merupakan suatu perkara yang serius dan harus diambil berat oleh semua pihak yang terlibat. Umumnya, sehingga kini masih hangat diperkatakan di seluruh Malaysia mengenai bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang telah dijatuhkan hukuman penjara pada 23 Ogos yang lalu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Pulau Pinang menarik balik gelaran Datuk Seri Utama yang telah dikurniakan kepada Najib Razak.

Difahamkan, Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang menarik balik gelaran berkenaan.

Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyatakan bahawa beliau bersetuju untuk menarik balik keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) iaitu membawa gelaran Datuk Seri Utama berkuat kuasa bermula pada hari ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Zakuan Zakaria memaklumkan bahawa keahlian D.U.P.N. yang membawa gelaran Datuk Seri Utama telah dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri itu pada itu pada tahun 2009.

”Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap beliau atas beberapa pertuduhan.

“Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang D.U.P.N. yang membawa gelaran Datuk Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan berkuat kuasa pada 15 September,” terang beliau.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri yang dikurniakan kepada Najib pada 1992 dan 2004, berkuat kuasa 12 September lalu.

Sekadar rekod, Najib Razak mempunyai sembilan darjah kebesaran dari negeri Selangor, Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Sebelumnya, bekas Perdana Menteri, Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Dikatakan, Mohd. Zakuan berkata, pembatalan dan pemansuhan keahlian Najib selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Hal ini dilakukan menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.