Connect with us

Politik

PRU-15 Tidak Sesuai Diadakan Pada Musim Tengkujuh, Ini Penjelasan Khairy Jamaluddin

Pilihanraya umum akhir-akhir ini sering dijadikan sebagai salah satu topik hangat yang dibincangkan di Malaysia. Sama ada cepat ataupun lambat, pilihanraya ini diadakan.

Menerusi laporan Berita Harian, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin menerangkan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini tidak sesuai diadakan pada musim tengkujuh.

Jelas Khairy, ianya bukan sahaja memakan kos yang tinggi malah biasanya apabila banjir, banyak tenaga kerja yang diperlukan pada PRU akan ditugaskan untuk menjaga pusat pemindahan sementara (PPS) dan pemindahan mangsa bencana tersebut.

Bukan itu sahaja, kemudahan yang akan digunakan sewaktu proses pengundian PRU juga ada antaranya yang menjadi PPS untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir.

“Lazimnya, kita elak pilihan raya pada waktu banjir. Ini ambil kira faktor keselamatan, tenaga kerja dan faktor kesihatan.

“Apabila berlaku banjir, akan ada peningkatan penyakit berjangkit, penyakit bawaan air akan meningkat, macam-macam penyakit berjangkit. Itu memerlukan rawatan dan tidak termasuk demam, selesema.

“Bagi KKM memanglah dari segi kesesuaian pilihan raya waktu banjir tak sesuai,” jelas beliau mengenai isu pilihanraya ini tidak sepatutnya diadakan pada musim ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 17 September lalu, memaklumkan bahawa tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Khairy menjelaskan bahawa cadangan waktu yang sesuai itu ada dibincangkan secara umum bagaimanapun ianya terpulang kepada Perdana Menteri.

Terdahulu, media melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi nekad PRU-15 diadakan pada tahun ini namun kenyataan itu dibidas oleh Timbalan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan menyatakan pendapat beliau bahawa pelaksanaan PRU-15 ketika negara berdepan banjir adalah sikap tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini juga, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November sehingga mampu mendorong kepada banjir besar pada penghujung bulan tersebut.

MetMalaysia turut menjangkakan impak cuaca yang dialami lebih signifikan memandangkan monsun timur laut yang aktif pada tempoh itu terus membawa kepada risiko berlakunya hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.