Connect with us

Semasa

Potongan Harga Antara Tiga Hingga 30 Peratus Untuk Baiki Kereta Banjir

Banjir teruk yang dialami oleh penduduk Selangor sememangnya menjejaskan harta benda ramai. Selain rumah dibanjiri air bah, kereta juga mengalami kerosakan teruk sehingga menyebabkan pemilik kenderaan perlu mengeluarkan belanja lebih untuk membaik pulih.

Seperti yang kita tahu, kereta yang ditinggalkan lama sambil ditenggelami air bukanlah satu perkara yang mudah untuk dibaiki semula. Namun, mahu atau tidak, terpaksalah diselenggara semula kerana kereta adalah sesuatu yang penting buat kita untuk kemana-kemana.

Dijangkakan tempoh untuk membaiki sesebuah kereta yang tenggelam akibat banjir adalah minimum empat ke lima hari selepas mengambil kira jangkaan kerosakan serta pembersihan.

Menurut laporan Utusan, empat hinggga ke lima hari dikatakan tempoh masa yang paling pendek diperlukan oleh seorang mekanik di bengkel. Pun begitu kereta tersebut masih memerlukan pemeriksaan susulan untuk mengenal pasti sebarang kerosakan lain yang tidak dapat dikesan di peringkat awal.

Apabila menemu bual Klang, Azizul Bajuri, 38, seorang pemilik sebuah bengkel kereta di Jalan Permai di Pandamaran, Klang berkata sebuah kereta memerlukan sehingga lima orang pekerja untuk memastikan enjinnya boleh dihidupkan dan ruang kabin dibersihkan.

Azizul yang menerima 12 buah kereta pasca banjir dari lima kawasan mengaku menghadapi kesulitan semasa dalam proses membaiki. Antaranya, dia hanya dapat membaiki dua buah kereta sekali gus kerana kerosakan akibat banjir terlalu kompleks untuk diperbaiki.

“Terutama sekali kerja-kerja mencuci bahagian enjin dan kabin kerana terlalu banyak alat ganti yang kotor dan perlu dibersihkan sebelum pembaikan dapat dilakukan dan dalam tempoh itu juga peralatan yang rosak dapat dikenal pasti.”

“Selepas cucian, barulah kerja baik pulih komponen rosak dilakukan seperti pertukaran minyak enjin, kotak gear, komponen pendikit, penyedut udara dan banyak lagi bahagian yang memerlukan tempoh masa sehingga empat atau lima hari bergantung kepada jenis kenderaan,” jelasnya kepada media.

Dia menambah, harga yang dikenakan pula bergantung kepada model kenderaan dan usia bergantung kepada kecanggihan sesuatu kereta.

Menurut Azizul, biasanya kereta baharu akan menelan kos yang lebih tinggi untuk dibaik pulih kerana terlalu banyak komponen elektronik yang berisiko rosak.

“Kos antara RM600 hingga RM2,000 dianggarkan bagi kereta-kereta lama kerana tidak banyak menggunakan komponen elektronik, cukup sekadar selenggara semula enjin seperti tukar minyak serta membersihkan komponen yang kotor.

“Tetapi, bagi kereta yang mempunyai komponen elektronik yang kompleks seperti kebanyakan kereta baharu tanpa mengira model Honda, Proton atau jenama mewah sekali pun, kos baik pulihnya sudah pasti lebih RM3,000, kalau tidak cabut bateri ketika banjir, lagilah mahal kosnya,” jelasnya lagi.

Beralih ke pemilik bengkel seterusnya di Taman Kemuning Prima, Jalan Bukit Kemuning, Mohd. Hafiz Fahmi, 40 pula berkata kos baik pulih kereta-kereta berteknologi tinggi boleh mencecah puluhan ribu sehingga RM30,000.

“Paling rendah bagi kereta yang ada komponen elektronik yang pernah saya siapkan baru-baru ini adalah Perodua Alza yang memerlukan pertukaran unit kawalan enjin (ECU) serta alat ganti lain sekitar RM1,700.”

“Tetapi, bagi model yang sama juga ada yang menelan belanja sehingga RM3,000 kerana banyak sensor rosak serta komponen lain seperti kompresor penghawa dingin, motor kipas radiator, alternator, suis tingkap automatik dan bateri,” jelasnya.

Dia berkata lagi, sejak menerima permintaan ramai dia terpaksa menambah bilangan kakitangan di bengkel dan memanjangkan tempoh waktu operasi bagi membenarkan lebih daripada 20 buah kereta dapat disiapkan dengan cepat untuk memenuhi keperluan pelanggan.

Lim Wei Tuan, 35, juga antara seorang pemilik bengkel di kawasan itu berkata dia hanya mampu menerima sehingga lapan buah kereta banjir untuk dibaiki termasuk kereta jenama mewah seperti Mercedes dan BMW.

“Bagi kereta mewah, kereta memerlukan masa sekurang-kurangnya satu minggu untuk disiapkan kerana komponennya lebih kompleks termasuk peralatan elektroniknya berbanding model lain.

“Kalau model hibrid pula lebih rumit dan kosnya pula lebih tinggi, lazimnya bagi kereta mewah yang baharu dan dilengkapi pelbagai teknologi, kos baik pulih bermula sekitar RM7,000 ke atas, lagi canggih kerta lagi mahal kos repair,” usiknya.

Prihatin dengan dugaan yang menimpa penduduk setempat, rata-rata bengkel di Selangor yang menerima kereta-kereta banjir untuk dibaik pulih menawarkan potongan harga antara tiga hingga 30 peratus dengan tujuan untuk mengurangkan beban mangsa.

Tetapi pemilik bengkel menasihatkan agar pemilik kenderaan mengambil pelan perlindungan bencana dalam polisi insurans supaya jika berlaku banjir supaya tanggungan kos baik pulih tidak berasa terbeban.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.