Connect with us

Politik

PM Dapatkan Perintah Mahkamah, Arah Lokman Adam Padam Kenyataan Berunsur Fitnah

Seperti yang kita tahu, sudah ramai pengguna media sosial yang melibatkan diri dalam menyampaikan kenyataan berunsurkan jahat atau fitnah telah dikenakan tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa.

Begitu juga dengan kes baru-baru ini dimana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memperoleh perintah mahkamah agar Datuk Lokman Noor Adam padam kenyataan fitnah di media sosialnya.

Difahamkan, tindakan diambil disebabkan Lokman Adam yang merupakan seorang pengguna media sosial yang telah memuat naik sebuah video bertajuk ‘Bila Presiden Umno Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir’.

Wakil peguam Ismail Sabri, Ragunath Kesavan menyatakan bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, telah membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Naib Presiden Umno itu selaku plaintif, terhadap Lokman sebagai defendan.

“Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi memaksa defendan mengeluarkan video bertajuk “Bila Presiden Umno Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”, yang dimuat naik di akaun Youtube, Facebook, Instagram dam TikTok milik defendan.

“Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang defendan sama ada secara sendiri, ejen-ejennya daripada membuat kenyataan yang serupa di media sosial atau apa-apa laman web lain milik defendan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding dalam kamar di hadapan Roz Mawar.

Menerusi kenyataan Kesavan, perintah ex-parte dikeluarkan hari ini sehingga pendengaran inter-parte (dua pihak) pada 26 September ini.

Pada 8 September lalu, Perdana Menteri Malaysia itu telah memohon perintah injunksi itu melalui kes saman yang telah difailkannya terhadap Lokman, 49, yang juga merupakan ahli Umno atas dakwaan yang menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosialnya.

Ismail Sabri, 62, mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif, dalam satu video bertajuk ‘Bila Presiden Umno Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir’ melalui penyataan tuntutannya.

Menurut Ismail, kenyataan-kenyataan berunsurkan niat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif, telah dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan.

Antara laman media sosial yang telah dimuatnaikkan ‘content’ tersebut termasuklah YouTube dengan nama ‘Lokman Adam’, Facebook bernama ‘Lokman Noor Adam Official’, Instagram “lokmannooradam” dan juga ‘datoklokmanadam’ digunakan sebagai nama pengguna TikTok beliau.

Berdasarkan kenyataan plaintif, antara kata-kata fitnah yang dikeluarkan seperti menuduh si plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang bersama dengan bekas Perdana Menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan Umno.

Hal ini dipercayai oleh Lokman, bahawa plaintif lakukan hal ini hanya untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan mengkhianati parti Umno itu.

Jelas Ahli Parlimen Bera ini, beliau mendakwa bahawa dirinya tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati Umno.

Beliau juga menerangkan bahawa beliau tidak pernah mengatur langkah-langkah yang melanggar prinsip untuk menghalang pembubaran Parlimen dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum, dengan niat untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Susulan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sekadar info, pada 1 September lepas, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi berunsur niat jahat dan fitnah terhadap Ismail Sabri serta kerajaan melalui aplikasi Facebook atas nama profil ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 20 dan 22 Ogos yang lalu.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.