Connect with us

Semasa

Pinjaman PTPTN Dinaikkan 100% Untuk M40, PM Minta Mahasiswa Martabat Bahasa Melayu

Seperti yang kita tahu, terdapat pelbagai jenis pinjaman yang boleh dimohon oleh para mahasiswa untuk menyambung pelajaran mereka di universiti. Antara pinjaman yang diperkenalkan ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menerusi laporan Berita Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pinjaman PTPTN dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus kepada golongan M40 kategori 1.

Di samping itu, Ismail Sabri memaklumkan antara usaha kerajaan menjaga kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia ialah kerajaan turut bersetuju untuk menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan M40.

“Percayalah, kerajaan sentiasa menjaga kepentingan mahasiswa dan mahasiswi, …banyak lagi yang akan kita umumkan demi kepentingan mahasiswa dan mahasiswi sekalian,” jelas beliau sewaktu berucap merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyatakan beliau dimaklumkan oleh Noraini bahawa mulai Oktober ini, Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diadakan di setiap institut pengajian tinggi (IPT).

Difahamkan, jualan ini dilakukan untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa.

Bukan itu sahaja, Perdana Menteri meminta mahasiswa supaya terus berjuang mengekalkan jati diri, budaya dan bahasa dengan memainkan peranan penting sebagai pembina bangsa dan memaknakan kemerdekaan sepertimana pembina bangsa terdahulu memperjuangkan kemerdekaan.

Selain itu, mahasiswa Keluarga Malaysia juga diseru supaya mampu memberikan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu langkah untuk meluahkan hasrat dan perasaan cinta terhadap negara kita.

“Saya juga menggunakan bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa.

“Baru-baru ini, pengarah filem tersohor negara U-Wei Saari memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow (Russia) apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang menggunakan bahasa Melayu.

“Saya percaya mata pelajaran umum atau MPU yang dilaksanakan di IPT mampu memperteguh penghayatan mahasiswa sekalian kepada etika dan peradaban masyarakat pelbagai etnik di Malaysia,” jelas beliau.

“Berpeganglah pada lima prinsip Rukun Negara dengan pasakkan tekad yang teguh untuk tetap bersatu dalam kepelbagaian dan jangan sekali-kali membiarkan anasir luar mengganggu-gugat kesepaduan kita.

“Mari berganding bahu demi merealisasikan masa hadapan lebih gemilang buat Malaysia tercinta, dan kita paterikan janji keramat untuk memastikan Jalur Gemilang sentiasa berkibar megah di persada jaya,” terangnya.

Oleh hal demikian, mahasiswa haruslah berusaha bersungguh-sungguh demi membuktikan bahawa merekalah pewaris legasi kemerdekaan negara, yang berpendidikan, dan semangat cinta akan negara yang tinggi.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.