Connect with us

Semasa

Perkhidmatan Percuma MRT, LRT, BRT, Monorel, Bas RapidKL Selama Satu Bulan Bermula Hari Ini – PM

Beberapa jam lalu, Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob tiba di Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur bagi merasmikan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu hari ini (16 Jun 2022).

MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu dijangka cetus dan rancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan lama atau belum dibangunkan. Pembukaan sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya dijangka catat bilangan awal penumpang harian lebih 104,000 orang.

Perdana Menteri mengumumkan semua perkhidmatan RapidKL adalah percuma selama sebulan bermula hari ini termasuk bas MRT, LRT, BRT, dan monorel ketika menghadiri majlis pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu.

“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” katanya.

Dalam pelancaran itu, Ismail Sabri juga berkata pihak MRT kini dalam perancangan untuk menambah empat lagi stesen baharu pada masa akan datang bagi membolehkan akses kepada pengangkutan awam dapat terus ditingkatkan.

“Ini juga merupakan antara agenda utama yang dilaksanakan kerajaan bagi memulihkan dan menstabilkan ekonomi negara serta memastikan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin pembukaan laluan itu akan membangunkan kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara, lapor Bernama.

“MRT Laluan Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu manakala Laluan Fasa Dua yang kini hampir siap sepenuhnya, melibatkan laluan dari Kampung Batu ke Putrajaya.

“Laluan Fasa Dua akan melalui kawasan strategik termasuk pusat bandar Kuala Lumpur dengan stesen bawah tanah seperti Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur, Ampang Park, Persiaran KLCC dan Tun Razak Exchange (TRX),” katanya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.