Connect with us

Semasa

Penumpang Pesawat Tidak Wajib Pakai Pelitup Muka, Umum MAG & Khairy Jamaluddin

Semenjak wabak COVID-19 beransur pulih, pemakaian pelitup muka sudah tidak diwajibkan. Perkara ini telah diisytiharkan dan diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

iospital phone repair gombak

Berdasarkan laporan Harian Metro, Malaysia Aviation Group (MAG) telah mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka semasa dalam pesawat kini adalah atas pilihan penumpang bagi semua syarikat penerbangan di bawahnya, kecuali pemakaian yang diwajibkan di negara-negara destinasi.

Difahamkan, perkara tersebut berkuat kuasa secara serta-merta.

Keputusan tersebut dibuat ekoran pengumuman yang telah dibuat oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin mengenai pemansuhan kewajipan pemakaian pelitup muka ketika dalam pesawat komersial berkuat kuasa semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail menyatakan bahawa sebelumnya taklimat telah diberikan kepada Khairy berhubung dengan pendekatan berasaskan risiko dalam menjadikan pemakaian pelitup muka sebagai pilihan di dalam pesawat.

Di samping itu, MAG turut menjelaskan mengenai ciri-ciri perlindungan yang terdapat dalam pesawat mereka.

Antaranya ialah sistem peredaran udara kabin yang menyegarkan udara kabin 20 hingga 30 kali sejam, serta penggunaan penapis udara berzarah kecekapan tinggi (HEPA) yang mempunyai keupayaan untuk menapis 99.9 peratus bahan cemar bawaan udara termasuk virus dan bakteria.

Namun begitu, MAG memaklumkan bahawa syarikat penerbangan amat menggalakkan bagi mana-mana penumpang yang mempunyai risiko tinggi ataupun penumpang yang melakukan perjalanan bersama individu berisiko tinggi, hendaklah memakai pelitup muka sepanjang berada di dalam pesawat.

Tambah MAG, penumpang Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan AMAL boleh melakukan perjalanan dengan penuh yakin disebabkan MAG komited untuk menyediakan pengalaman perjalanan menyeluruh yang selamat dan lancar seiring dengan inisiatif MHFlySafe.

Difahamkan, ini termasuklah operasi pesawat oleh juruterbang dan anak kapal yang telah menerima vaksin lengkap, serta infektasi pesawat yang kerap dilakukan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.