Connect with us

Semasa

Pengarah Jabatan Universiti Awam Disyaki Terima Rasuah, Direman Selama 7 Hari

Akhir-akhir ini, gejala rasuah yang meningkat di Malaysia semakin hangat diperkatakan oleh masyarakat. Gejala keji ini haruslah dicegah agar imej baik negara kita tidak tercemar dan disusuli dengan impak yang lain.

Menerusi laporan Harian Metro, seorang pengarah jabatan di salah sebuah universiti awam di Melaka telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas beliau disyaki menerima suapan berbentuk sebuah kereta Honda Accord.

Difahamkan, suapan Honda Accord itu bernilai lebih RM 174,000.

Selepas membenarkan permohonan SPRM, Majistret Mazana Sinin telah mengeluarkan perintah tahanan reman tersebut.

Tahanan reman lelaki berusia 50-an itu bermula hari ini sehingga 26 September.

Dikatakan, perintah berkenaan telah diberikan untuk membenarkan siasatan dilakukan terhadap suspek mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, lelaki itu ditahan kira-kira pada jam 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka di Alai, selepas disyaki menerima suapan daripada pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor.

Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Mat menyatakan bahawa suapan itu diberikan kepada tertuduh sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai RM 1,654,350.

“Dia disyaki menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 yang dianggarkan bernilai RM 174,500.

“Ia diperoleh daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350,” ulas lanjut beliau mengenai kes tersebut.

Sekadar info, baru-baru ini juga timbul suatu kes rasuah yang melibatkan seorang pegawai polis berpangkat inspektor kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM 3,000, menurut laporan Kosmo.

Berdasarkan kenyataan sumber, lelaki berusia 37 tahun itu telah ditahan di sebuah restoran di Alor Setar.

“Wang rasuah tersebut dipercayai diterima inspektor terbabit sebagai balasan untuk menyelesaikan kes melibatkan seorang individu.

“Individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” terangnya.

Tertuduh yang juga merupakan seorang inspektor itu bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap telah mengesahkan penahanan inspektor berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” jelas beliau.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.