Connect with us

Semasa

Pengantin Rugi Lebih RM20K, Pihak Polis Cari Lelaki Tipu Pakej Perkahwinan

Kes penipuan wang kebelakangan ini semakin meningkat sehingga ramai mangsa yang terpedaya dengan tipu helah mereka. Oleh itu, pihak yang berwajib haruslah berusaha sedaya upaya demi mengurangkan kadar kes penipuan wang ini.

Iospital phone repair gombak

Difahamkan menerusi laporan Harian Metro, pihak polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai telah melakukan penipuan pakej perkahwinan sehingga membabitkan sejumlah wang bernilai RM 20,900.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar menyatakan bahawa dua aduan telah diterima oleh pihaknya yang telah dibuat oleh seorang wanita yang juga merupakan ibu kepada pengantin berkenaan (57 tahun) bersama pengantin tersebut (28 tahun) pada 24 Oktober yang lalu.

Berdasarkan kenyataan pengadu, syarikat pakej perkahwinan yang bernama ‘The Wedding by Fiey’ itu telah berjaya memperdayakan ramai mangsanya dengan pengiklanan promosi pakej yang ditawarkan di laman media sosial Facebook.

“Menurut pengadu, syarikat pakej perkahwinan ‘The Wedding by Fiey’ itu memperdayakan orang ramai dengan mengiklankan promosi pakej di Facebook menggunakan nama syarikat.

“Suspek bernama Muhammad Lutffi Iaman Mat Abu berusia 28 tahun itu dipercayai mensasarkan pasangan mahu berkahwin yang tinggal di daerah ini.

“Antara pakej yang ditawarkan adalah set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering,” terang Zaiham.

Dikatakan mangsa diminta datang berjumpa suspek untuk berunding selepas mangsa bersetuju untuk mengambil pakej perkahwinan itu.

“Suspek meminta mangsa membuat pembayaran penuh untuk menempah pakej perkahwinan. Namun, selepas pembayaran dibuat atas nama syarikat, lelaki itu kemudian menghilangkan diri.

“Kedua-dua mangsa terbabit mengalami kerugian RM20,900,” katanya.

Terang Zaiham, siasatan awal mendapati bahawa syarikat itu sah wujud dan telah didaftarkan sebelumnya di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kita sudah mengenal pasti lokasi butik pengantin terbabit yang sudah ditutup di Bandar Bentong. Kami percaya suspek sudah menghilangkan diri dan usaha mengesan lelaki terbabit sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” jelas beliau.

Zaiham turut memohon agar mangsa penipuan lelaki berkenaan supaya tampil membuat laporan polis bagi tindakan lanjut dapat dilakukan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pusay Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 bagi membantu siasatan,” ulas lanjut beliau mengenai isu terbabit.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.