Connect with us

Semasa

Pengambilan 10,000 Pekerja Asing Sri Lanka, Mesyuarat Jemaah Menteri Capai Kata Sepakat

Setiap tahun negara kita menerima kedatangan pekerja asing disebabkan ekonomi negara ini yang bertambah pesat. Mereka kebiasaannya bekerja dalam pelbagai sektor seperti perindustrian, pertanian dan juga pembinaan.

Memetik laporan Astro Awani, Jemaah Menteri telah bersetuju bagi cadangan pengambilan 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka.

Hal ini dilakukan dengan mengambil kira keadaan negara tersebut yang juga sedang dilanda krisis ekonomi pada waktu kini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menyatakan bahawa kerajaan Sri Lanka telah mengemukakan permohonan rasmi untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 pekerja dari negara tersebut.

Jelas beliau, Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 14 Sept lalu, bersetuju untuk pengambilan pekerja tersebut.

Difahamkan, ianya merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu negara Sri Lanka yang sedang berdepan krisis ekonomi terburuk di negara itu.

“Saya menggesa pihak industri dan majikan untuk memberi sokongan kepada niat murni kerajaan ini dengan menggajikan pekerja asing dari Sri Lanka bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang dibenarkan untuk pengambilan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saravanan, majikan yang telah diberi kelulusan kuota dan telah menyelesaikan bayaran levi boleh merebut peluang tersebut.

Tambah beliau, sehingga 14 Sept lepas, bayaran levi telah dibuat bagi 416,634 permohonan pekerja asing.

Saravanan juga memaklumkan bahawa mana-mana majikan yang berminat untuk mengambil pekerja asing boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM ([email protected]) atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ([email protected]) untuk maklumat lanjut.

Terdahulu, Saravanan pernah mengesahkan ada menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri berhubung permohonan kelulusan khas merekrut dan membekalkan 12,000 pekerja asing untuk sebuah agensi pekerjaan seperti yang telah tular di media sosial.

Namun begitu, permohonan untuk kelulusan khas itu tidak dimuktamadkan sebaliknya ia telah melalui proses seperti biasa yang ditetapkan Kementerian Sumber Manusia (KSM), jelas Saravanan.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.