Connect with us

Semasa

Penduduk Warga Myanmar Mengaku Warganegara, Mahu Layanan Sama Seperti Rakyat Malaysia

Penduduk tetap atau warganegara Malaysia sememangnya mampu menikmati pelbagai kelebihan ketika berada di negara ini. Oleh hal demikian, wujud pula beberapa individu yang mengklasifikasikan diri mereka sama seperti rakyat tempatan lain dan berhak mendapatkan kelebihan sebagai warganegara Malaysia.

Memetik laporan Utusan Malaysia, penduduk warga Myanmar yang tinggal di Bukit Malut, Langkawi mengaku bahawa keturunan asal mereka berasal dari KEdah yang dikenali sebagai Melayu Islam Kedah (MIK).

Ekoran dengan alasan tersebut, mereka telah mendakwa kerajaan membenarkan mereka untuk menetap di Bukit Malut apabila mereka memasuki negara ini pada awal 1980-an.

Imam Masjid Bukit Malut, Abdullah Mohd, 50, menyatakan bahawa kebanyakan warga Myanmar menetap di kawasan berkenaan telah mendapat kerakyatan Malaysia dan memiliki kad pengenalan (IC) masing-masing.

Jelasnya, penduduk di situ seharusnya layak mendapatkan pengiktirafan sebagai rakyat Malaysia.

Hal ini disebabkan mereka dikatakan sama sahaja seperti masyarakat lain yang juga merupakan warganegara di Malaysia ini.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan (Perkara 19), ahli keluarga warga Myanmar itu wajar mendapat MyKad melalui proses naturalisasi,” terangnya.

Namun begitu, penduduk di kawasan tersebut berasa kesal kerana mereka masih tidak dianggap sebagai rakyat Malaysia bahkan dianggap pula sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Tambahnya lagi, kerajaan sepatutnya berikan keistimewaan yang sama kepada penduduk di situ seperti masyarakat tempatan yang lain memandangkan mereka juga sebahagian daripada warganegara Malaysia.

“Tidak adil bagi penduduk di Bukit Malut dianaktirikan oleh kerajaan walaupun mereka telah lama mendapat kerakyatan. Kami pun rakyat Malaysia dan perlu mendapatkan kemudahan sama seperti masyarakat lain.

“Masyarakat luar tidak sepatutnya mempertikai status penduduk di sini selepas mereka diberikan MyKad,” ulas lanjutnya.

Menerusi kenyataannya, penduduk di kawasan itu masih menanti kerajaan menyediakan kawasan penempatan baharu yang selesa dan tersusun berbanding sekarang ini.

“Kami ingin memastikan generasi baharu daripada keluarga MIK di Bukit Malut ini tidak terabai masa depan mereka,” terangnya yang juga merupakan nelayan di situ.

Akan tetapi, dia turut mengaku bahawa ada beberapa segelintir penduduk di sana masih tidak mempunyai kad pengenalan diri dan dianggap sebagai PATI.

Salah seorang penduduk bernama Yaakub, 58, menyuarakan bahawa ramai dalam kalangan ahli keluarga warga Myanmar yang diberikan kerakyatan mendapat pekerjaan di beberapa jabatan dan agensi kerajaan.

Bukan itu sahaja, jumlah pelajar dari keluarga yang tinggal di Bukit Malut juga berjaya melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi.

“Saya harapkan kerajaan tidak memandang sebelah mata terhadap penduduk di Bukit Malut, sebaliknya perlu diberi perhatian sewajarnya,” ulas lanjutnya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.