Politik
Pemberian Komputer Riba Untuk Pelajar M40 & Para Guru, Ini Janji Zahid Hamidi Jika BN Menang

Setiap kali musim pilihan raya tiba, segala janji atau manifesto bakal dikeluarkan oleh calon-calon politik untuk memenangi hati para pengundi.
Menurut laporan Bernama, sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN sedia memanjangkan pemberian komputer riba secara percuma kepada pelajar M40 dan para guru, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Pelajar M40 dan guru di seluruh negara akan turut menerima bantuan komputer riba percuma untuk pembelajaran dan pengajaran… Ini merupakan maklum balas secara langsung BN terhadap permintaan pengundi,” jelas Zahid sewaktu beliau menghadiri Program Budi Disanjung di Parit 16 Sungai Panjang, Selangor.
Sebelumnya, calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang turut hadir pada program itu, menyatakan bahawa pihaknya telah menerima permohonan daripada para guru dan keluarga M40 supaya mereka jugaa bakal diberikan komputer riba untuk tujuan pembelajaran.
Manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang dihujahkan oleh BN itu merupakan tawaran baharu kepada rakyat Malaysia yang mengandungi 99 amal dan usaha gabungan politik itu bagi mengemudi Malaysia ke arah negara maju.
Menerusi manifesto tersebut, antara tawaran yang dinyatakan ialah pemberian komputer riba percuma kepada pelajar B40 dan memastikan semua sekolah menerima 100 peratus liputan 5G.
Terang Zahid Hamidi, rakyat perlulah memberikan mandat yang kuat terhadap BN agar sebuah kerajaan stabil dapat ditubuhkan.
Hal ini demikian kerana bagi mendepani kemelesetan ekonomi yang dijangka akan berlaku pada tahun depan.
“Pakar ekonomi menjangkakan kemelesetan ekonomi berlaku pada suku pertama tahun hadapan dan PRU15 yang diadakan pada tahun ini adalah tempoh yang sesuai supaya kerajaan baharu nanti dapat bersedia sepenuhnya,” jelas beliau.