Connect with us

Semasa

Bekas Personaliti TV3 Dilaporkan Masih Lagi Hilang Sejak Tahun Lepas

Lebih 10,000 kes orang hilang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2017 sehingga 31 Ogos 2021. Daripada jumlah tersebut, kes orang hilang berumur 18 tahun dan ke atas adalah berjumlah 6,074 orang.

Demi membendung masalah ini daripada berterusan berlaku, pihak PDRM sering melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan perumahan, kedai, sekolah dan lain-lain.

Menurut laporan Bernama, seorang bekas personaliti yang juga pembaca berita di salah sebuah stesen televisyen terkenal, TV3 iaitu Zalina Shaharah Azman telah dilaporkan hilang sejak November 2021 dan masih gagal dikesan walaupun pelbagai usaha telah dibuat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33 berkenaan kehilangan ibunya pada 29 November.

Zalina Shaharah, 58 dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November bagi memaklumkan datuk Mikhael telah dimasukkan ke hospital namun gagal.

“Pada 29 Nov 2021, pengadu dan pak ciknya sampai di rumah ibunya di Seksyen 3, Shah Alam dan mendapati kereta ibunya berada di rumah,” katanya.

Tambah beliau, ketika pemeriksaan dijalankan, keadaan di dalam rumah Zalina yang dipercayai tinggal seorang diri didapati tidak tersusun dan mangsa tiada di rumah.

“Turut ditemui beg duit milik ibu pengadu mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, wang tunai RM600 serta kunci kereta,” katanya.

Pihak polis turut membuat hebahan kepada orang awam untuk membantu siasatan dengan ciri-ciri mangsa adalah berketinggian 158 sm, berat 60kg, berkulit hitam manis dan berbadan kurus.

Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-55194622 jika mempunyai maklumat.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.