Semasa
Pawang Sebar Lakaran Didakwa Sebagai ‘Penyihir’, Ustaz Kazim Elias Mohon Hentikan

Penceramah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim memohon agar trend menyebarkan lakaran lukisan ‘penyihir’ segera dihentikan.
Ustaz Kazim menerusi hantaran terbarunya di Facebook sebentar tadi memaklumkan beliau telah menerima banyak kiriman mesej daripada pengguna TikTok yang berkongsi lakaran lukisan seseorang yang dikatakan adalah milik individu yang melakukan sihir.
“Saya dapat banyak kiriman daripada TikTok lakaran lukisan kononnya orang yang melakukan sihir.
“Saya berlepas diri daripada perkara-perkara sebegini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menegur kepada mana-mana individu yang terlibat agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi lakaran seperti itu kerana ia mungkin menyerupai wajah seseorang.
“Jangan menimbulkan tanggapan tuduhan kepada sesiapa pun dan perkara begini bukan daripada kaedah perawatan yang dibenarkan.
“Saya berharap pemilik akaun berkenaan memadamkan gambar-gambar ini dan ianya tiada faedah sama sekali,” jelasnya.
Sebelum ini, Ustaz Kazim telah mendedahkan keadaan dirinya yang dipercayai terkena sihir dan mengatakan seramai enam individu telah tampil bersemuka dengannya untuk meminta maaf kerana menyihir dirinya.
Susulan itu, tular video TikTok @official_neopawangdiraja dimana dia membuat pendedahan berkenaan orang yang menyihir Ustaz Kazim. Menerusi video tersebut, dia telah melukis 4 individu berbeza yang menyihir Ustaz Kazim dengan cara berbeza.
“Sosok yang pertama ialah seorang wanita bertudung dan didampingi oleh makhluk berupa hantu pocong bermata hijau, manakala sosok kedua ialah seorang lelaki berkopiah menggunakan barang sihir seperti rambut, jarum dan tisu peluh mangsa.
“Bagi sosok ketiga pula ialah seorang dukun dari Indonesia dimana mempunyai lembaga hitam sebagai lembaga suruhannya dan sosok keempat ialah seorang dukun asli yang menggunakan katak dan jin harimau belaannya.”
Menurut lelaki tersebut, dia tidak mengenali individu-individu yang dilukisnya dan tidak berniat untuk menuduh mana-mana pihak. Tambahnya, lakaran yang dikongsikan adalah sebuah lakaran ghaib yang terhasil daripada gerak yang Maha Kuasa.
Perkongsian tersebut telah meraih perhatian orang ramai dan rata-rata netizen berasa terkejut dengan perkongsian tersebut. Malah, ada juga segelintir netizen mempersoalkan kebenaran pada lukisan tersebut.