Connect with us

Selebriti

Nekad Saman Orang Ketiga, Puteri Sarah Tidak Mahu ‘Dipijak-Pijak’ Lagi

Kemelut rumah tangga antara pelakon wanita Puteri Sarah dengan suaminya, pengarah tersohor Malaysia Syamsul Yusof semakin hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Dikatakan berpunca oleh orang ketiga, Sarah nekad ingin memulakan kehidupan baru dan mengambil tindakan atas Ira Kazar yang didakwa menganggu hubungan rumah tangganya sejak empat tahun lalu.

Sarah atau nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 36, tindakan saman merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan semua masalah yang melanda dirinya.

“Empat tahun saya berdiam kerana mahu beri peluang. Kalau boleh nak selesaikan masalah ini tanpa melibatkan mahkamah dan tak perlu satu Malaysia tahu. Apabila sudah sampai tahap begini saya rasa ia biadab.

“Memang selama ini ada niat hendak ambil tindakan, tetapi masa itu saya asyik terfikir apa akan terjadi kepada saya, perkahwinan dan keluarga.

“Selepas pulang dari umrah saya sangat yakin dengan keputusan ini. Saya juga ada buat solat istikharah dan nampak jalan apa yang harus dilakukan,” katanya.

Sarah hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Shah Alam pada pagi Khamis untuk membuat aduan berkenaan rumah tangganya. Terdahulu, Sarah mendedahkan Ira adalah punca berlakunya isu hubungan rumah tangganya.

Dalam pada didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Syamsul, Ira juga dikatakan mengganggu kehidupan Sarah dengan menghantar pelbagai ugutan menerusi sosial media.

Sarah menfailkan saman terhadap Ira di mahkamah sivil pada 26 Jun lalu melalui peguamnya dan Ira juga sudah menerima surat arahan supaya menghentikan segala gangguan dua hari kemudian. Kes akan mula dibicarakan di mahkamah pada 4 Julai akan datang.

Sarah turut berharap dengan cara ini, mana-mana wanita yang mengalami nasib sama akan melakukan tindakan sewajarnya.

“Saya buat semua ini untuk diri sendiri dan keluarga. Sampai bila saya mahu dipijak-pijak.

“Jadi kepada sesiapa yang nak sondol (rampas) selepas ini perlu lebih berhati-hati. Saya mahu pertahankan perkahwinan dan perjuangkan hak sendiri.

“Kalau dah ambil orang punya duduk diam-diam, jangan ambil dan canang sana-sini serta kacau keluarga orang lain,” katanya.

Dalam permohonan yang dibuat, Sarah mahu Ira tampil memohon maaf dan berhenti mengganggunya.

Sementara itu Sarah enggan mengulas lanjut tentang hubungan dia dan Syamsul dan memberitahu suaminya itu ada datang melawat ketika anak-anak mereka dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.