Connect with us

Politik

Nekad Adakan PRU15 Tahun Ini, Timbalan PKR Tampil Bidas Kenyataan Zahid Hamidi

Sebagai rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas, kita diwajibkan untuk mengundi dalam acara pilihan raya yang bakal diadakan. Pentingnya amalan pilihan raya ini ialah rakyat terlibat dalam pemerintahan negara untuk memilih wakil rakyat yang berkebolehan.

Menerusi laporan Astro Awani, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa beliau mempertahankan pendirian beliau berkaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan pada tahun ini.

Dalam kenyataan beliau, beliau juga membidas pertikaian pembangkang untuk mengadakan PRU semasa bulan November atau Disember.

Hal ini disebabkan pada bulan tersebut umumnya merupakan fasa peralihan Monsun Timur Laut yang mengundang bencana banjir di beberapa lokasi.

Difahamkan semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, PRU pernah diadakan pada bulan November 1999 dan ia tidak pula dijadikan isu besar oleh pembangkang.

“Terbaharu tahun lepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk.

“Ternyata pembangkang sebenarnya takut mereka kalah kerana kepercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH) hilang apabila Tun Dr Mahathir tidak mahu serah jawatan kepada Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang), selain manifesto mereka gagal laksanakan.

“Sebab itu mereka perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN. Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan,” terang beliau berhubung dengan isu tersebut.

Jelas beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memaklumkan bahawa BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN yang memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan.

Tambah beliau lagi, pelbagai jentera parti komponen dan juga jentera BN terus berlangsung.

Maka dengan itu, BN dalam keadaan bersiap siaga untuk pembubaran parlimen dan pilihan raya umum.

“Persiapan ini bukan sahaja berlaku dalam BN. Jelas PH dan parti bukan BN juga sedang menjelajah di seluruh negara untuk kempen politik mereka.

“Masa yang berbaki sebelum parlimen dibubarkan digunakan oleh musuh BN sebaik-baiknya. Mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi (Timbalan Presiden PKR) tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN.

“Namun kita perlu buktikan bahawa hasutan mereka kali ini tidak akan berjaya. Rekod 22 bulan PH ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata,” ulas lanjut beliau.

Dikatakan pada Sabtu yang lalu, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini, kenyataan beliau sewaktu berucap dalam majlis pelancaran Jentera Pemuda BN.

Namun begitu pada Ahad lepas pula, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menafikan kenyataan itu dengan memberikan pendapat beliau bahawa pelaksanaan PRU15 ketika negara berdepan banjir adalah sikap tidak bertanggungjawab.

Beliau berpendapat bahawa ahli politik seharusnya memberikan tumpuan terhadap usaha menghadapi banjir dan membantu rakyat, bukannya fokus untuk memenangi PRU15 semata-mata.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.