Connect with us

Politik

Najib Razak Dirujuk Ke HRC, Masalah Kesihatan Dipantau Jabatan Penjara Malaysia

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang dijatuhi hukuman penjara disebabkan penyelewengan kuasa dan wang dikatakan mengalami masalah kesihatan. Sehinggakan sebelum ini beliau perlu dirujuk ke hospital yang dinyatakan.

Menerusi laporan Astro Awani, Najib Razak telah dibawa ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Kuala Lumpur pada Isnin yang lalu.

Difahamkan, beliau dirujuk ke sana bagi mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan terhadap tahap kesihatannya itu.

Jabatan Penjara Malaysia menyatakan bahawa selepas Najib Razak diberikan pelepasan perubatan dari pihak pakar perubatan HRC atau Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Terang jabatan itu melalui satu hantaran di laman Facebook, pada 12 September lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Najib dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setelah dimaklumkan keadaan kesihatan beliau tidak begitu baik.

Dikatakan, pihak berkuasa hanya melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara, dan pihaknya turut sama bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga dalam keadaan elok.

Jelasnya, penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan seperti yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan juga merupakan salah satu tanggungjawab mereka terhadap kesihatan banduan-banduan.

Terdahulu, media melaporkan Najib yang hadir di Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dirujuk ke Hospital Kajang kerana mengalami masalah kesihatan.

Bekas Perdana Menteri itu telah dirujuk ke hospital tersebut disebabkan pengambilan ubat darah tinggi baharu yang menyebabkan kesan teruk terhadap kesihatannya.

Dalam pada itu, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan bahawa tekanan darah Najib dilaporkan berada pada tahap tinggi dan berbahaya.

Dipercayai berpunca daripada pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

Mukhlis turut mendakwa permohonan Najib untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di HKL telah ditolak oleh pakar perubatan yang merawat beliau.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan Najib menerima ubat yang sama dan dalam senarai ubatan kementerian beliau sewaktu menerima rawatan di HKL.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa Ahli Parlimen Pekan itu berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan pada 9 September lalu.

Sekadar info, Najib Razak kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Hantaran laman Facebook:

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.