Connect with us

Semasa

Najib Mahu Lantik Peguam Diraja Isu SRC International – Peguam

SRC International dibentuk pada Januari 2011 sebagai anak syarikat 1MDB, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Keinginan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melantik Peguam Diraja dari United Kingdom kerana Peguam Diraja mempunyai pengalaman dan kepakaran untuk membantu beliau berdepan dengan isu dan persoalan perundangan yang kompleks dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.

Menurut laporan yang ditulis Bernama, hal berkenaan didedahkan hari ini dalam surat enam halaman yang dikeluarkan peguam Najib daripada Shafee & Co. kepada sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam salinan surat yang dikemukakan kepada media hari ini, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata memandangkan rayuan itu melibatkan isu dan persoalan undang-undang yang kompleks serta dianggap baharu di Malaysia dan Komanwel, perayu (Najib) memerlukan nasihat dan kepakaran daripada Peguam Diraja berpengalaman yang telah mengendalikan isu-isu kompleks ini.

Sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada mahkamah Malaysia, pelantikan Peguam Diraja akan dibuat secara ad-hoc.

Beliau turut berkata mereka juga memohon Mahkamah Persekutuan tidak menetapkan tarikh awal untuk pendengaran rayuan itu kerana mereka memerlukan masa untuk menterjemahkan nota dan dokumen mahkamah yang dikaitkan dengan kes itu dari Bahasa Malaysia ke Bahasa Inggeris, bagi membolehkan beliau dan peguam kanan lain memberi taklimat kepada Peguam Diraja mengenai rayuan berkenaan.

“Oleh itu perayu memerlukan masa, selepas menerima rekod rayuan untuk membekalkan (rekod) yang sama kepada Peguam Diraja di London,” kata peguam.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata pihak-pihak masih belum menerima rekod penuh rayuan berhubung kes itu dan menyatakan sudah ada 121 jilid dokumen dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, yang menunjukkan ia mungkin meningkat di mahkamah tertinggi negara.

“Memandangkan pihak-pihak tidak dibekalkan dengan rekod penuh rayuan, perayu tidak dapat menyediakan Petisyen Rayuan yang lengkap kerana kami perlu meneliti rekod rayuan,” katanya dan turut menjelaskan mereka memerlukan lanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan.

“Justeru, kami percaya penetapan tarikh awal untuk mendengar rayuan ini  akan menyebabkan prejudis kepada perayu terutama memandangkan bahawa ia adalah rayuan terakhir. Perayu perlu diberi masa yang cukup untuk membuat persediaan dan bukannya rayuan dipercepatkan. Perayu merasakan rayuannya dijalan dengan tergesa-gesa tanpa alasan yang kukuh. Persepsi adalah sangat penting kepada imej badan kehakiman,” katanya.

Untuk menambah bukti baharu dan rayuan utama, peguam kanan itu berkata ia adalah satu kepentingan untuk mengadakan perbicaraan berasingan dengan jarak masa yang ketara antara kedua-dua proses sehubungan dua rayuan bekas perdana menteri itu.

“Kami memohon pertimbangan baik Yang Arif bagi suatu tempoh wajar untuk mendengar kedua-dua rayuan. Kami tidak yakin sebarang tarikh pada April, Mei atau Jun adalah bersesuaian. Bagaimanapun, rayuan bukti tambahan boleh dipersetujui pada tarikh semasa yang telah ditetapkan,” katanya.

Mahkamah menetapkan 15 dan 16 Mac untuk mendengar rayuan Najib bagi mengemukakan bukti baharu semalam.

Mahkamah turut menjadualkan 28 Jan untuk pengurusan kes berikutnya bagi menentukan tindakan seterusnya untuk rayuan utama.

7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mendedahkan bukti baharu bagi rayuannya dalam kes SRC dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

Keesokannya, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020.

Najib, 69, memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pada hari sama.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.