Connect with us

Semasa

MTEM Beri Cadangan Kepada Kerajaan, Bantu Rakyat Hadapi Pandemik Menerusi Bajet 2023

Bajet tahunan merupakan suatu perancangan kewangan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk kemudahan rakyat. Semestinya seluruh masyarakat tidak sabar akan apa yang menanti mereka untuk Bajet Tahunan 2023 nanti.

Memetik laporan Astro Awani, kerajaan telah digesa oleh Majlis Tindakan EkonomMTi Melayu (MTEM) bagi memberikan moratorium hutang tanpa faedah ke atas semua jenis pinjaman menerusi Bajet 2023.

Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin menyatakan bahawa Bajet 2023 haruslah dirangka dengan sebetulnya fokus kepada masalah rakyat yang sangat terkesan akibat pandemik COVID-19 yang telah berlaku.

“Moratorium Hutang Tanpa Faedah perlu diberikan ke atas semua jenis pinjaman termasuk kredit kecuali hutang kad kredit di bawah kawalan semua Kementerian bermula daripada 1 Oktober hingga 31 Disember 2022.

“Ini sekiranya jumlah hutang pokok keseluruhannya tidak lebih daripada RM1,000,000.00 termasuk mereka yang ada tunggakan melebihi 180 hari,” terangnya mengenai isu tersebut.

Abdul Halim turut memaklumkan bahawa pihaknya juga mencadangkan agar kerajaan mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Majikan untuk tempoh Januari-Disember 2023.

Hal ini dicadangkan sebagai langkah persediaan menghadapi keadaan kemelesetan ekonomi yang dijangka lebih buruk pada tahun hadapan.

Jelasnya, walaupun mereka sedar cadangan itu akan mengurangkan simpanan caruman KWSP masyarakat, akan tetapi pertimbangan harus dititikberatkan demi kelangsungan sektor pekerjaaan dan mengurangkan jumlah pengangguran.

“Sebab itu kita sebut pengurangan KWSP sepanjang 2023 sahaja. Cadangan ini mengambil kira aliran tunai pada masa depan kerana pada 2023 kita jangka akan berlaku cabaran hebat terhadap pekerjaan dan banyak perniagaan akan gulung tikar.

“Jadi kita perlu kurangkan perbelanjaan supaya perniagaan dapat terus bertahan. Apabila perniagaan stabil majikan tidak perlu buang pekerja dan pengangguran di Malaysia tidak meningkat,” ujarnya.

Dalam pada itu, MTEM juga memberikan cadangan kepada kerajaan supaya beri perhatian terhadap perlindungan daripada kemuflisan dengan mencadangkan Pindaan Seksyen 5(1)a Akta Insolvensi menaikkan had RM100,000 kepada RM1,000,000 bagi tempoh 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2025.

“Seksyen 466(1)(a) Akta Syarikat yang sedia ada dipinda daripada RM50,000 (RM10,000 dulu sebelum Covid-19) dipinda dengan menaikkan jumlah kepada RM500,000,” ulas lanjut beliau.

Tambahnya, dasar perolehan kerajaan diberikan untuk Bumiputera sebanyak 90 peratus turut dicadangkan manakala perolehan GLC sebanyak 50 peratus untuk Bumiputera daripada segi nilai dibawah kerangka Agenda Bumiputera Genuine dalam semua bidang.

Khusus untuk pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera untuk Rancangan Malaysia Ke-12 dan 13, MTEM memaklumkan mahu peruntukan untuk semua agensi pengupayaan Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) ditambah 30 peratus.

Kerajaan juga dicadangkan bagi memperuntukkan sebanyak RM 200 bagi kempen-kempen nasional seperti “Belilah Barangan Malaysia’, ‘Buy Malaysian First’ dan ‘Buy Muslim First’ sebagai agenda pembangunan rantaian bekalan Bumiputera.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.