Connect with us

Semasa

MB Kedah Minta Henti Kempen Burukkan Langkawi, Anggap Pelancong Tidak Boleh Dipaksa

Pulau Langkawi merupakan salah satu pusat pelancongan yang ideal untuk dilawati di Malaysia. Walau bagaimanapun, baru-baru ini wujud beberapa kempen yang berunsur negatif yang mampu memberi kesan terhadap sektor pelancongan itu.

Menerusi laporan Bernama, sebarang kempen negatif yang berkait dengan Pulau Langkawi perlu dihentikan segera.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak patut memaksa pelancong untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan mereka ataupun menghalang mereka untuk melancong ke Thailand, negara jiran kita.

“Kalau mereka pergi sana, kita tidak boleh halang kerana bagi saya itu normal dalam industri pelancongan. Kalau mereka pernah datang melancong ke Langkawi, mesti mereka mahu pergi melancong ke tempat-tempat atau negara lain pula.

“Cuma hentikan sebarang kempen yang memburukkan Langkawi. Kerajaan negeri kini dalam usaha untuk meningkatkan daya tarikan di Langkawi dan Tanah Besar bagi menarik lebih ramai pelancong luar untuk datang ke Kedah,” terangnya berhubung dengan isu tersebut.

Menurut beliau, beliau mengulas isu tersebut ekoran daripada beberapa hantaran di media sosial yang menggalakkan orang ramai melancong ke Thailand berbanding Langkawi.

Difahamkan, hantaran tersebut dibuat atas dakwaan harga hotel dan makanan di Pulau Langkawi itu jauh lebih mahal berbanding negara Thailand.

Muhammad Sanusi menyatakan bahawa Langkawi mencatatkan kemasukan pelancong yang menggalakkan sehingga kini berdasarkan data Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

“Kalau ramai yang pergi Thailand, tidak bermakna kita akan terjejas teruk… keadaan ini hanya sementara,” jelasnya.

Sebelumnya, bertindak sebagai moderator, Muhammad Sanusi telah hadir dalam Dialog Bajet 2023 Kerajaan Negeri Kedah yang juga disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Isahak Murat.

“Sesi dialog ini adalah bagi mendapatkan input daripada pihak lain kerana mereka boleh memberi pandangan yang boleh digunakan dalam penyediaan bajet tahun hadapan.

“Semua pandangan akan diambil kira berdasarkan keupayaan negeri untuk menyediakan peruntukan bagi semua cadangan yang disuarakan,” ulas lanjut beliau.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.