Connect with us

Semasa

Masalah Kucing Terbiar Buat Pengunjung Tidak Selesa, PBT Diminta Untuk Ambil Tindakan

Kucing merupakan salah satu haiwan yang menjadi pilihan ramai untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan mereka. Bagaimanapun, masih ada individu yang tidak bertanggungjawab membuang haiwan comel ini di merata tempat.

Menerusi laporan Kosmo, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Seberang Perai diminta oleh peniaga dan pengunjung Pasar Awam Kepala Batas bagi meningkatkan seliaan dan rondaan untuk menangani masalah kebanjiran kucing terbiar di kawasan tersebut.

Mohd. Syafiq Mohd. Noor, 19, wakil peniaga di situ menyatakan bahawa bilangan kucing itu semakin bertambah walaupun PBT sudah melaksanakan tugas mereka dengan mengalihkan kucing-kucing tersebut pada minggu yang lalu.

Hal ini disebabkan sikap beberapa individu yang ambil ‘jalan mudah’ dan tidak bermoral dengan membuangnya di kawasan pasar.

“Selalunya (pemilik) tinggalkan (kucing) di pasar pada waktu malam, mungkin mengelak di­sedari orang ramai.

“Harap PBT kerap buat rondaan pada sebelah malam supaya kawasan pasar awam ini terpelihara dengan kebanjiran kucing jalanan yang kebanyakannya tidak terurus, malah ada yang sakit.

“Pada masa sama, kami sebagai peniaga juga berharap orang ramai yang gemar memberi makanan kepada kucing terbiar ini menitikberatkan aspek kebersihan kerana ada dalam kalangan mereka membiarkan makanan di kaki lima sehingga mencacatkan pemandangan selain mengundang kehadiran lalat,” jelas beliau mengenai isu tersebut.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung disitu bernama Rahmah Hussain, 66, memaklumkan bahawa isu peningkatan kucing buangan itu bukanlah suatu perkara yang baharu malah turut me­ngundang kepada masalah pencemaran.

“Setiap kali ke pasar ini, saya lihat banyak kucing berkeliaran di kawasan sekitar. Ada yang menyelongkar sampah dan ada yang berlegar-legar di dalam pasar.

“Hal ini menyebabkan suasana tidak selesa untuk pengunjung,” terangnya.

Maimunah Saad, 50, seorang suri rumah turut menyuarakan pendapatnya bahawa pengunjung sering ‘disajikan’ de­ngan bau dan tompokan najis kucing terutama di bahagian premis menjual makanan dan minuman.

Apabila wujud masalah sedemikian, para pengunjung akan berasa kurang senang untuk membeli barangan dapur mereka di situ.

Oleh hal demikian, pemilik si bulus haruslah mempunyai sikap bertanggungjawab dalam memelihara haiwan peliharaan ini dan janganlah sewenang-wenangnya membuang mereka jika tidak diperlukan lagi.

Jika ada masalah lain, letakkanlah mereka di tempat yang selamat seperti pusat perlindungan haiwan daripada membuang mereka di merata-rata tempat.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.