Semasa
Majikan Swasta Tidak Boleh Kurangkan Gaji, Jelas Menteri Sumber Manusia Ekoran Cuti Bagi PRU15

Perancangan pulang ke kampung halaman demi mengerjakan tanggungjawab sebagai rakyat untuk mengundi haruslah dibuat.
Susulan itu, majikan sektor swasta tidak dibenarkan mengenakan sebarang penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja disebabkan mengundi pada 19 November ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menyatakan bahawa mana-mana majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah subseksyen 25(1) Akta 5 boleh didakwa dan didenda sebanyak RM 5,000 atau penjara setahun jika disabitkan kesalahan.
Oleh hal demikian, pihaknya menggesa semua majikan dalam sektor swasta agar memberikan kebenaran kepada pekerja bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5], lapor Utusan Malaysia.
“Majikan hendaklah berbincang dengan pihak pekerja berkenaan dengan opsyen untuk pemberian ‘time-off’, hari pelepasan berganti atau cuti tahunan bagi tujuan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” jelas beliau.
Terang Saravanan, majikan juga boleh mengambil langkah-langkah seperti memberi ‘time-off’ kepada pekerja yang mengundi di tempat pengundian yang berdekatan atau diberikan pelepasan kepada pekerja yang perlu mengundi di tempat pengundian yang jauh.
Tambah beliau lagi, pekerja boleh mengambil cuti tahunan jika memerlukan lebih daripada satu hari untuk ke tempat mengundi.
Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan agar kerajaan mengisytiharkan cuti khas pada 18 November iaitu sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat pernah memaklumkan bahawa hal ini patut dilakukan kerana ramai individu yang mengundi bukan di lokasi bekerja dan terdapat dalam kalangan mereka terpaksa melakukan perjalanan lebih daripada empat jam bagi menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.
Difahamkan, PRU15 telah ditetapkan dan bakal dijalankan tidak lama lagi iaitu pada 19 November ini, manakala undi pos bagi mereka yang layak telah ditetapkan pada 15 November ini.