Connect with us

Semasa

Long Tiger Upah RM30,000 Bawanya Ke Negara Jiran

Nama Long Tiger hangat diperkatakan di seluruh media sosial sejak akhir-akhir ini dengan pelbagai pembongkaran dilakukan oleh orang ramai. Penjenayah yang menggunakan nama Long Tiger ini tular apabila beberapa kali mencetuskan perbalahan dengan beberapa pihak.

Long Tiger atau nama sebenarnya Addul Hamim bin Ab Hamin, 32 dipercayai telah menutup akaun Facebooknya apabila identitinya terdedah dan dikecam oleh pelbagai pihak.

Penjenayah dikehendaki ramai yang juga berbangsa Rohingya ini difahamkan telah mengupah dengan harga yang tinggi kepada tiga orang individu sebagai tanda terima kasih membantunya melepaskan diri dari Malaysia ke negara seberang iaitu Indonesia atau Thailand.

Menurut sumber laporan Kosmo, Long Tiger dikatakan menawar upah antara berjumlah RM20,000 hingga RM30,000 untuk menyeludupnya dengan menaiki kereta ke utara tanah air mengikuti jalan darat.

Pun begitu, jumlah sebenar upah yang diberikan masih di bawah siasatan pihak polis.

Bijak menggunakan helah, Long Tiger mengarahkan lagi tiga individu tersebut untuk tidak menggunakan lebuh raya, sebaliknya menggunakan jalan dalam untuk mengelakkan dirinya dikesan lebih awal.

Sejurus sahaja berjaya melepaskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak dekat sini pada 15 Disember, Long Tiger dan beberapa individu telah berpakat mendapatkan pertolongan demi membawanya ke tempat yang selamat iaitu rumah kenalannya di Kuala Ketil, Sungai Petani Kedah sebelum menjadikan tempat tersebut sebagai tempat persembunyiannya.

Namun, akhirnya pihak polis berhasil menjejak sarang persembunyiannya itu beberapa hari sebelum Long Tiger diberkas semula. Dipercayai, rumah kenalannya itu didiami oleh lelaki yang berpewatakan wanita.

Lelaki berpewatakan wanita yang memberi perlindungan kepada Long Tiger turut ditahan bersama dengan tiga individu lain atas tuduhan bersubahat melindungi penjenayah tersebut. Mereka dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman semalam.

Tidak serik melakukan kesilapan, Long Tiger sekali lagi cuba meloloskan diri ketika operasi berlangsung dengan memanjat bumbung namun malangnya tergelincir dan jatuh di lantai dapur rumah.

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay iaitu Ketua Polis Johor berkata, rumah kenalannya itu dijadikan tempat persinggahan sementara suspek menunggu waktu yang sesuai untuk menyelinap ke negara seberang.

Beliau berkata lagi, pihak polis yang menerima maklumat bergegas melakukan serbuan terhadapnya sekali gus menahan penjenayah tersebut pada pukul 3.15 petang kelmarin iaitu 13 hari selepas dia melarikan diri daripada satu operasi khas.

“Kita turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun di Kuala Ketil. Dia berkenalan dengan Long Tiger melalui Facebook sejak tahun lalu.

“Di rumah itu, Long Tiger merancang untuk melarikan diri sama ada ke Indonesia atau Thailand,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Long Tiger ditahan untuk dibicarakan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan iaitu peme­rasan. Selain itu, dia disiasat di atas beberapa tuduhan jenayah lain terma­suk kes rogol.

Difahamkan oleh Ayob Khan, pihak polis telah menahan dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun dalam operasi antara pukul 7.25 malam hingga 3 pagi semalam di Yong Peng, Batu Pahat.

“Mereka membantu Long Tiger dengan memotong gari selain membeli kad sim sebelum Long Tiger lari ke Kedah,” ujarnya.

Menurut Ayob Khan lagi, terdapat individu yang membantu Long Tiger sama ada membeli kad sim, potong gari dan bawa pergi dari Tangkak, Batu Pahat dan utara.

Sebelum ini, keempat-empat mereka termasuk Long Tiger dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak untuk mendapatkan perintah reman selama empat hari sehingga 1 Januari yang akan datang.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin bagi siasatan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan iaitu lari dari tahanan, manakala tiga individu lain yang turut terlibat dalam persubahatan disiasat di bawah Seksyen 216 kanun sama iaitu melindungi tahanan lolos.

Baru-baru ini juga pihak polis telah menahan sepasang suami isteri berusia 41 dan 43 tahun disyaki rakan subahat kepada Long Tiger di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam.

Dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini disebabkan aspek kecuaian sehingga Long ­Tiger meloloskan diri, kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.