Connect with us

Semasa

Lebuhraya SUKE Catat Kemalangan Pertama, Orang Ramai Dinasihatkan Tidak Berhenti Di Lorong Kecemasan

Kes kemalangan jalan raya merupakan suatu perkara yang serius dan tidak harus dipandang ringan. Oleh itu, kita sebagai pengguna jalan raya haruslah lebih berhati-hati ketika berada di atas jalan raya.

Memetik hantaran di laman Facebook Bernama, Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah merekodkan kemalangan pertama yang baru sahaja dibuka pada Jumaat yang lalu.

Difahamkan, kemalangan tersebut melibatkan seorang penunggang motosikal dan sebuah kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan lebuh raya tersebut pada hari semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak menyatakan bahawa mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki cedera di bahagianm kaki selepas melanggar bahagian belakang Perodua Myvi.

Dikatakan, kereta jenis Myvi itu berhenti di lorong kecemasan jalan tersebut kerana sedang mengambil gambar di lebuh raya itu yang baharu sahaja dilancarkan pada 3 hari yang lalu.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi kuning yang dipandu oleh seorang lelaki berhenti di lorong kecemasan di Lebuhraya SUKE dari arah Tol Bukit Teratai menghala ke Kuala Lumpur untuk melihat pemandangan sekitar dan mengambil gambar.

“Kemudian datang motosikal jenis Suzuki dari arah belakang dan melanggar bahagian belakang Perodua Myvi yang sedang berhenti.

“Ini kes kemalangan pertama dilaporkan di lebuh raya berkenaan. Mangsa dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan dan berlaku kerosakan kepada kedua-dua kenderaan terlibat,” jelas beliau berhubung dengan isu kemalangan berkenaan.

Susulan itu, kes tersebut disiasat mengikut Kaedah 16 LN 166/59 dalam Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan dengan individu cuai dan boleh dikompaun sehingga RM 300.

Dalam pada itu, Farouk Eshak turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berhenti di lorong kecemasan tanpa sebarang keperluan.

Hal ini disebabkan ianya mampu mengundang kejadian yang tidak diingini kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Sekadar info, SUKE mempunyai 14 persimpangan iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Taman Hillview dan Bukit Antarabangsa.

 

Hantaran laman Facebook Bernama:

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.