Connect with us

Politik

Lebih RM2 Billion Wang Dimasukkan Dalam Akaun Najib, Kes 1MDB Masih Dibicarakan

Seperti kita sedia maklum, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menerima hukuman penjara selama 12 tahun akibat kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Lalu, hari ini pula kita dikejutkan dengan fakta-fakta kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri ini.

Memetik laporan Astro Awani, pengurus cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, ataupun saksi bagi kes ini telah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa terdapat sembilan transaksi kemasukan wang ke akaun bank Najib Razak, yang berjumlah RM 2.08 bilion pada Mac dan April 2013.

R Uma Devi, 43, mengeluarkan kenyataan sedemikian ketika membaca pernyataan saksinya dalam kes prosiding rasuah dan pengubahan wang haram yang merupakan dana daripada 1MDB.

Difahamkan, saksi ke-37 kes itu menjelaskan bahawa wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad bermula pada 22 Mac hingga 10 April 2013 atas nama Najib Razak dan berakhir dengan nombor 969-4 (AM Private Banking MR).

Nilai tertinggi wang yang dimasukkan ialah pada 10 April 2013 (RM 602 juta) manakala yang terendah pula pada 28 Mac 2013 (RM 138,824,962.98).

“Saya sahkan kemasukan wang ke akaun ini sepertimana penyata akaun AmIslamic Bank Berhad bertarikh 14 April 2013 yang dirujuk kepada saya.

“Saya memperakui dan mengesahkan bahawa dokumen itu telah dicetak dari komputer milik AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan,” jelasnya.

Wang yang dimaksudkan berkait dengan tuduhan ketiga Najib, di mana beliau merupakan seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, dituduh menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan bernilai RM 2.08 bilion.

Lalu selepas empat bulan, terdapat beberapa transaksi pengeluaran dilakukan lagi daripada akaun AM Private Banking MR itu, sebanyak RM 2,034 bilion.

Demikian pada tahun 2019, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, menyatakan dalam penyataan pembukaan bahawa Syarikat Tanore Finance Corporation (Tanore Singapura) telah memindahkan AS$681 juta ke akaun tertuduh antara 21 Mac hingga 10 April 2013.

Menurut Sri Ram, jumlah tersebut bernilai RM2,081,471,926 jika ditukarkan dengan mata wang Malaysia.

Dikatakan, jumlah ini yang menjadi perkara utama dalam pertuduhan ketiga ini.

Manakala menerusi prosiding pada Isnin, mahkamah juga dimaklumkan bahawa RM 2,034,350,000 telah dikeluarkan dari akaun Najib antara 2 hingga 23 Ogos 2013 menerusi lima transaksi.

Dalam pada itu, Uma Devi mengeluarkan kenyataan bahawa hanya Najib sahaja mendapat keistimewaan untuk menukarkan akaunnya dengan nombor berakhir 694 dan 889 kepada kod selepas mendapat kelulusan daripada pihak pengurusan atasan bank.

Tambahnya, pemimpin UMNO itu turut bertanggungjawab terhadap akaun berkenaan seperti termaktub pada terma pembukaan akaun.

“Hanya Pengurus Perhubungan dan Pengurus Cawangan bank boleh mendapatkan akses kepada akaun berkenaan,” katanya.

Setakat ini, Najib telah dituduh dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM 2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan akan disambungkan pada hari Selasa di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.