Connect with us

Semasa

Lagi 4 Mayat Ditemui di Taman Sri Muda

Empat lagi mayat dipercayai mangsa banjir ditemui di sekitar Taman Sri Muda, Seksyen 25, Sahah Alam sehingga jam 7 malam semalam.

Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ia membabitkan dua lelaki dan dua wanita manakala bangsa atau warganegara mereka belum dikenal pasti.

“Pertambahan empat kematian hari ini menjadikan jumlah terkini korban banjir di Shah Alam adalah 12 orang iaitu tujuh lelaki dan lima perempuan.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut ‘Sudden Death Report’ (SDR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Baharudin memaklumkan, 31 orang ditahan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam susulan kejadian pecah dan ceroboh kedai serbaneka di kawasan berkenaan, semalam.

Beliau berkata, individu ditahan adalah 10 warganegara Indonesia, tujuh Bangladesh, sembilan Nepal dan lima Myanmar.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“IPD Shah Alam meletakkan elemen Pencegahan Jenayah di semua kawasan terjejas dengan banjir dan polis menyeru serta menasihati orang ramai di kawasan terjejas banjir agar tidak mengambil tindakan menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Baharudin berkata, IPD Shah Alam membuka dua Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) iaitu di PKTK 1 di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan PKTK 2, Taman Kemuning Utama, Seksyen 33.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 583 mangsa banjir dipindahkan pada hari ini dan jumlah terkini mangsa di PPS daerah Shah Alam adalah seramai 3,982.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.