Connect with us

Semasa

KWSP Sokong Pengeluaran Khas i-Citra Diberhentikan, Beri Jaminan Akan Menjaga Kesejahteraan Masa Depan Ahli

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan satu skim yang dilancarkan oleh pihak kerajaan pada tahun 1991 untuk membantu pekerja menyimpan wang buat hari tua. KWSP merupakan sebuah dana persaraan untuk menjamin ekonomi masa depan seseorang pekerja.

KWSP bertanggungjawab membantu ahli membangkitkan semula keucukupan simpanan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian sebarang pengeluaran khas di bawah skim i-Citra agar masa depan persaraan mereka agar tidak dikompromi secara berterusan.

Ditubuhkan sejak 1951, tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, KWSP telah diamanatkan untuk melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka. yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70% simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30% simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjaga masa depan persaraan yang lebih terjamin. Pun begitu, pengeluaran untuk bencana alam tidak dibenarkan sama sekali kerana hal tersebut tidak termaktub dalam akta.

Menerusi laporan Astro Awani, lonjakan kes Covid dan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini telah melibatkan ramai mangsa menjadikan perlindungan sosial semasa negara ke tahap maksima. Kaedah menggunakan simpanan KWSP untuk keperluan kecemasan sudah pasti akan memberikan kesan yang serius sewaktu ahli sedang berhadapan dengan kurangnya wang simpanan persaraan, ditambah pula dengan ketidaktentuan lain seperti peningkatan kos rawatan kesihatan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyokong pemberhentian sebarang pengeluaran khas di bawah skim i-Citra agar masa depan persaraan pencarum di negara ini tidak terus dikompromi.

Jelasnya, KWSP merupakan sebuah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.

Inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan untuk membantu seluruh rakyat Malaysia seperti skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada tahun 2020, diikuti oleh i-Citra pada bulan Julai 2021, telah diperkenalkan untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi. Setakat Oktober 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga skim pengeluaran ini. Ini adalah bersamaan 22% daripada RM530 bilion pakej rangsangan.

Skim pengeluaran tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada ahli ketika pandemik dan PKP. Pun begitu, kesan disebaliknya adalah menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000, sememangnya tahap yang meragukan persaraan ahli.

Kebanyakan mereka yang telah membuat pengeluaran kecemasan daripada KWSP terdiri dalam kalangan Bumiputera. Daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54% ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2.0 juta atau 25% mempunyai kurang daripada RM1,000. Dikhuatiri bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun.

KWSP juga bimbang ketirisan seterusnya akan menjejaskan kedudukan mereka sebagai sebuah organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli. Sebagai yang diberi mandat, KWSP mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan yang saksama untuk semua ahlinya, terutamanya apabila masih terdapat berjuta lagi ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka, berharap akan mendapatkan pulangan yang lebih baik demi menjamin masa depan yang akan datang.

Sehingga sekarang, lebih daripada RM270 bilion simpanan KWSP boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang telah mencapai umur lebih daripada 55 dan 60 tahun, mahupun yang mempunyai simpanan lebih daripada RM1 juta dalam akaun KWSP mereka. Kemelesetan kepercayaan terhadap KWSP akan memaksa golongan ahli mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak akan memberikan impak yang negatif terhadap pasaran domestik memandangkan KWSP merupakan tunggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara.

Pengurusan keselamatan pendapatan hari tua kekal sebagai amanat utama dan panduan kepada KWSP dalam membangunkan strategi penjagaan dana warga emas yang sistemik. Tidak lama lagi, sembilan tahun akan datang Malaysia akan mencapai status negara menua pada tahun 2030. Bilangan warga emas yang memerlukan bantuan kerajaan akan meningkat secara mendadak daripada 3.5 juta pada tahun 2021 kepada 5.3 juta ataupun 15% daripada keseluruhan penduduk pada tahun 2030 dan 7.4 juta ataupun 21% daripada keseluruhan penduduk pada tahun 2042, seterusnya memberikan isu dalam merangka dasar aspek seperti pekerjaan, jaminan pendapatan dan rawatan kesihatan.

Objektif utama kini adalah untuk memulih dan membangunkan semula simpanan KWSP. Fokus KWSP kini adalah untuk terus melindungi simpanan ahli, selaras dengan mandatnya, memastikan ahli turut memulihkan dan membangunkan semula simpanan persaraan mereka bagi menjamin persaraan yang selesa. Bantuan kewangan kerajaan yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan untuk pemulihan daripada pandemik dan banjir baru-baru ini adalahh dialu-alukan ketika dalam situasi yang runcing ini. Oleh itu, sebarang pengeluaran khas daripada simpanan KWSP pada masa hadapan adalah tidak perlu.

Kesatuan negara seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), telah menzahirkan rasa risau mereka terhadap masa depan persaraan pekerja-pekerja di Malaysia dan mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP.

Musibah banjir yang melanda negara beberapa minggu lalu turut menduka citakan KWSP. KWSP dan organisasi lain perlu memainkan peranan penting ke arah kesejahteraan masyarakat. Justeru itu, KWSP, menyertai di bawah Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN), telah menawarkan sokongannya melalui sumber di bawah keupayaannya, termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP.

KWSP menegaskan tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana peruntukan tersebut adalah daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan. Bantuan akan diberi menerusi sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mangsa dan disalurkan melalui pertubuhan amal bukan untung yang berkredibiliti. Dengan hampir 15 juta ahli, sebarang bantuan melalui pertubuhan kebajikan dan melalui usaha sukarelawan KWSP sendiri akan memberi manfaat kepada ahli dan keluarga mereka secara langsung dan tidak langsung.

KWSP berharap dengan bantuan-bantuan yang disalurkan akan menyokong pemulihan ekonomi dan membantu dalam memenuhi keperluan rakyat sambil meyakinkan ahli bahawa KWSP kekal komited terhadap amanat dan tujuannya untuk menjamin masa depan persaraan ahli.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.