Connect with us

Semasa

“Berbau busuk,” Kumpul Sampah Sehingga Ganggu Jiran, 2 Tan Sampah Dikutip Di Rumah Pasangan Degil Ini

Rumah yang ‘menyimpan’ sampah sarap kawasan laman rumah mahupun di dalam rumah bukanlah sesuatu yang aneh lagi. Malah sejak kebelakangan ini sering tular gambar mahupun video keadaan rumah yang bersepah dengan sampah.

Isu ini bukan sahaja mengganggu keselesaan orang ramai di kawasan perumahan tersebut, malah boleh mengancam kesihatan seperti wujudnya nyamuk aedes dan kencing tikus.

Di Taman Bintang, Pantai Remis, Manjung, sebuah rumah sudah dua kali dibersihkan dan turut diberikan notis kerana ‘mengumpul’ sampah namun pemilik rumah masih mengulang perbuatan sama sehingga mengganggu penduduk setempat.

Ekoran itu, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) melakukan kerja pembersihan dan mengeluarkan timbunan sampah di kawasan rumah berkenaan buat kali ketiga sehingga mengumpulkan dua tan sampah bermula jam 8.30 pagi hingga 11 pagi semalam.

Menurut Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh, kerja pembersihan dilakukan di kawasan hadapan, tepi dan lorong belakang rumah itu.

Beliau berkata, MPM sudah beberapa kali menerima aduan daripada penduduk setempat berhubung masalah itu dan mengeluarkan notis kacau ganggu serta notis ingkar arahan kepada pemilik tetapi enggan diendahkan.

“Kami menerima enam aduan sejak September tahun lalu dan pembersihan kali ini yang ketiga selepas Januari dan Mei lalu. Kita mengumpulkan dua tan sampah seperti surat khabar, sampah pukal, besi buruk dan tin aluminium.

“Tindakan itu berdasarkan Seksyen 46(1)(D), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana meletakkan barang kitar semula di lorong tepi dan hadapan premis menyebabkan halangan dan kacau ganggu bau di tempat awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah beliau, pembersihan di rumah yang dihuni suami isteri dan dua anak itu berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.

“Operasi dilakukan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar bersama Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM menggunakan jentera seperti lori kompektor, jengkaut dan lori roro.

“Kita berharap perkara sama tidak berulang lagi dan kerjasama semua pihak diperlukan kerana tindakan seperti ini boleh menyebabkan kacau ganggu serta tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.