Connect with us

Semasa

Konon Tidak Mampu Biaya Kos Isteri Bersalin, Seorang Lelaki Merayau Minta Wang Dari Orang Ramai

Kebelakangan ini, ramai individu yang mengalami masalah kewangan lebih-lebih lagi ekoran isu inflasi yang membimbangkan pada zaman kini. Bagaimanapun, itu tidak boleh dijadikan sebagai ‘tiket’ untuk mereka meminta wang sewenang-wenangnya daripada orang lain.

Memetik laporan Harian Metro, seorang lelaki merayau di kawasan hospital dan klinik di kawasan sekitar Kota Bharu, Kelantan dengan meminta wang daripada orang lain.

Difahamkan, modus operandi yang digunakan dia meminta wang tersebut dengan alasan untuk digunakan sebagai bayaran bil bersalin isterinya.

Suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu menghampiri mangsa-mangsanya dengan berbekalkan raut wajah sedih dan menangis kononnya dia tidak mempunyai wang cukup untuk membiayai kos rawatan isterinya itu.

Dikatakan, taktik ini sudah lama digunakan sejak beberapa bulan lalu dan sudah ramai individu yang telah menjadi mangsa penipuan lelaki tersebut termasuklah seorang pengusaha butik pengantin, Siti Nurul Salsabila Mohd Zaki, 27.

Salsabila menyatakan bahawa kejadian seumpama itu berlaku pada adik lelakinya bertempat di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian, pada dua minggu yang lalu.

“Ketika itu kami sedang menunggu adik ipar bersalin dan didatangi lelaki terbabit yang ingin bercakap secara bersendirian dengan adik lelaki di satu penjuru.

“Berasa tidak sedap hati, saya menghampiri mereka beberapa minit kemudian dan saya melihat adik sedang memegang telefon bimbit dan baru selesai memindahkan wang sebanyak RM190.

“Sambil menangis, lelaki itu memberitahu dia tidak cukup wang untuk membayar bil isterinya bersalin dan berjanji akan membayar semula petang keesokan harinya,” terangnya.

Mangsa juga menjelaskan bahawa mereka cuba menghubungi lelaki berkenaan pada keesokan hari akan tetapi lelaki itu gagal dihubungi.

Apabila sedar sebenarnya mereka ditipu, mereka terus pergi membuat laporan di balai polis sebelum pihak polis memaklumkan sudah ramai yang terkena dengan lelaki tersebut.

Lantas itu, beberapa hantaran telah dibuat dengan memuatkan salinan laporan polis serta gambar lelaki itu di Facebook miliknya dengan tujuan mendapat makluman daripada sesiapa yang mengenalinya akan tetapi tidak menyangka menerima banyak komen termasuk daripada beberapa mangsa yang lain.

“Sekurang-kurangnya hantaran saya itu dapat membantu orang lain berhati-hati agar tidak ditipu dan mengelakkan daripada membantu orang yang salah,” jelasnya.

Hantaran yang dibuat turut menerima komen daripada seorang suri rumah yang enggan dikenali dengan memberitahu suaminya dihampiri lelaki yang sama ketika baru selesai mengambil wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di perkarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dua bulan lalu.

“Lelaki itu merayu agar dibantu kerana ingin menjelaskan bil bersalin isterinya berjumlah RM140 tapi suami tidak memberi kerana wang yang dikeluarkan cukup-cukup untuk perbelanjaan sendiri.

“Tidak lama selepas itu saya mendapat tahu lelaki itu sudah lama menjalankan kerja mencari wang dengan cara mudah di hospital dan ramai yang sudah menjadi mangsa,” ulas lanjutnya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.