Connect with us

Semasa

Ketua Umno Bukit Bintang Dilantik Jadi Pengerusi Pharmaniaga

Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) ialah sebuah syarikat farmaseutikal Malaysia. Ia adalah anak syarikat Boustead Holdings, sekutu tentera Malaysia.

Pharmaniaga telah ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai Remedi Pharmaceuticals dan dinamakan semula sebagai Pharmaniaga pada Ogos 1998, merupakan syarikat penjagaan kesihatan pertama di Malaysia yang disenaraikan dalam Pasaran Utama Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Menurut laporan yang dibuat The Edge Markets, Ketua Umno Bukit Bintang Zainal Abidin Mohd Rafique dilantik sebagai pengerusi Pharmaniaga Bhd, menggantikan Shazalli Ramly yang kini menjadi pengarah bukan bebas syarikat itu.

Memetik dari liputan, Pharmaniaga mengumumkan perubahan itu berkuatkuasa mulai 1 Februari ini, dalam pemfailan dengan Bursa Malaysia hari ini.

“Kumpuluan syarikat tidak mengulas lanjut berhubung perubahan itu.

“Bakal pengerusi Zainal Abidin, yang merupakan ketua Umno Bukit Bintang, pada masa ini memegang beberapa jawatan pengarah, antaranya di Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Clock Tower Hotel Sdn Bhd, dan QI – pmc Sdn Bhd,” katanya.

Selain itu, Shazalli dinyatakan dilantik sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Pharmaniaga pada 1 Mac tahun lalu, hanya tiga bulan setelah dia dilantik sebagai pengarah urusan Boustead Holdings Bhd.

Pharmaniaga turut memaklumkan penukaran jawatan Zulkifli Jaafar daripada pengarah bebas kepada pengarah eksekutif pada hari sama.

Pharmaniaga Berhad adalah syarikat berhubungan kerajaan dengan tumpuan antara dalam pengedaran produk perubatan dan farmaseutikal serta pengilangan produk farmaseutikal generik.

Pada tahun 2021, semasa pandemik Coronavirus, syarikat itu juga dilantik sebagai pengedar tunggal vaksin Covid-19 Sinovac di Malaysia.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.